Kuala Lumpur: Malaysia akan memberi penjelasan kepada Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan lebihan kapasiti pengeluaran dan penggunaan buruh paksa yang menjadi antara isu dalam siasatan di bawah Seksyen 301 negara itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dakwaan lebihan kapasiti pengeluaran tidak semestinya bermaksud Malaysia melakukan amalan lambakan (dumping) terhadap produk yang dieksport ke AS.
Beliau berkata, jika Malaysia mempunyai lebihan kapasiti sekali pun, ia tidak bermakna negara melakukan lambakan terhadap produk yang dihantar ke pasaran AS.
“Kalau kita ada lebihan kapasiti sekali pun, tetapi kalau kita bukan melakukan ‘dumping’, kita boleh tunjukkan kos kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis sembang santai di Kampung Baru, di sini, malam ini.
Johari berkata, perkara itu boleh dijelaskan dengan membandingkan harga jualan produk di pasaran tempatan dan harga eksport.
“Harga yang kita jual di Malaysia dengan harga yang kita eksport boleh dibandingkan. Kalau harga yang kita jual di sini sama dengan harga kita eksport, tidak boleh kata kita melakukan ‘dumping’,” katanya.
Johari berkata, amalan lambakan lazimnya berlaku apabila sesuatu produk dijual pada harga lebih rendah di pasaran eksport berbanding harga di negara asal.
“Contohnya kalau harga di Malaysia RM100 tetapi kita jual di negara lain RM80 atau RM90, itu boleh menimbulkan persepsi bahawa kita cuba menekan pesaing di pasaran mereka,” katanya.
Johari berkata demikian ketika mengulas langkah AS pada Rabu yang memulakan siasatan terhadap tindakan, dasar dan amalan ke atas 15 negara, termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU), di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 berkaitan dengan kapasiti berlebihan struktur dan pengeluaran dalam sektor perkilangan.
Terbaharu, AS menerusi Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Duta Jamieson Greer pada Khamis telah memulakan siasatan terhadap 60 ekonomi di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 negara itu, seksyen yang digubal antara lain untuk menangani kegagalan mengambil tindakan terhadap buruh paksa.
Antara 60 negara terlibat ialah rakan dagang terbesar AS termasuk tujuh negara ASEAN iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Mengulas dakwaan berkaitan buruh paksa, Johari berkata Malaysia mempunyai undang-undang buruh yang jelas bagi memastikan pekerja dilindungi dan tidak berlaku eksploitasi.
“Buruh paksa ini termasuk jika menggunakan pekerja tanpa permit yang sah, atau pekerja dibayar di bawah gaji minimum yang ditetapkan,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan pekerja bawah umur juga tidak dibenarkan di bawah undang-undang negara ini.
“Kerajaan sudah tetapkan gaji minimum. Kalau syarikat bayar di bawah kadar itu, itu tidak dibenarkan. Begitu juga jika menggunakan pekerja bawah umur,” katanya.
Tambah beliau pematuhan kepada undang-undang buruh dan piawaian pekerjaan adalah penting bagi memastikan produk Malaysia tidak dikaitkan dengan isu buruh paksa dalam perdagangan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd






