MITI perkasa FTA, fokus kerjasama dua hala dan pemerkasaan PKS – Johari

MITI perkasa FTA, fokus kerjasama dua hala dan pemerkasaan PKS – Johari


bisnes@hmetro.com.my

Istanbul: Lawatan kerja ke Turkiye adalah sebahagian daripada usaha strategik Malaysia untuk menilai semula dan memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang telah dimeterai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia selari dengan perubahan landskap ekonomi global yang semakin cenderung kepada perlindungan pasaran domestik.

Malaysia setakat ini telah menandatangani 17 FTA, merangkumi sembilan perjanjian pelbagai hala dan serantau serta lapan perjanjian dua hala, termasuk dengan Turkiye.

Menurut beliau, pendekatan negara-negara di seluruh dunia kini semakin bersifat “inward looking” dengan dasar perlindungan menjadi kata kunci utama.

Justeru, katanya, Malaysia tidak boleh sekadar bergantung kepada perjanjian sedia ada tanpa memaksimumkan manfaatnya.

“Kita perlu melawat negara-negara yang telah menandatangani FTA dengan Malaysia untuk menilai apakah manfaat yang telah mereka peroleh daripada kita dan sebaliknya. Tujuan saya adalah untuk memperhebat kerjasama ini kerana semua negara kini lebih mementingkan kepentingan domestik,” katanya kepada Buletin TV3 di Istanbul sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye.

Jelasnya, lawatan ke Turkiye merupakan langkah awal untuk menilai keberkesanan FTA yang dimeterai, termasuk mengenal pasti mengapa pelaburan dan perdagangan dua hala masih belum mencapai potensi sebenar.

“Kita telah menandatangani FTA, tetapi mengapa kita belum melihat aliran pelaburan atau perdagangan yang seimbang? Mengapa perdagangan kita lebih banyak mengalir ke mereka, tetapi tidak sebaliknya? Mungkin terdapat kekangan dari segi kapasiti atau keupayaan, dan di situlah terletaknya peluang,” katanya.

Johari turut menegaskan kepentingan untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti perniagaan bagi mendengar isu sebenar yang dihadapi, selain membina kepercayaan antara negara rakan dagang yang memudahkan peluasan ekonomi.

Beliau menekankan, setiap usaha memperkukuh FTA perlu disertai dengan penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memandangkan sektor itu merupakan tunjang kekuatan ekonomi negara.

“Kita memang memerlukan syarikat besar dalam industri tertentu seperti teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI), namun kekuatan sebenar kita adalah bagaimana membangunkan PKS dan membolehkan mereka menembusi pasaran negara-negara FTA,” katanya.

Beliau berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memainkan peranan penting dalam membawa PKS ke pasaran antarabangsa setiap tahun, namun sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih perlu dipertingkatkan.

“Ketika ini, sumbangan PKS kepada KDNK hanyalah sekitar 39 peratus, meningkat hanya dua peratus berbanding 37 peratus sepuluh tahun lalu, walaupun KDNK negara berkembang hampir 68 peratus dalam tempoh sama kepada RM1.9 trilion. Ini adalah perkara yang perlu kita beri perhatian serius,” ujarnya.

Johari berkata, Turkiye merupakan negara pertama dalam siri penilaian semula FTA, sebelum Malaysia mempertimbangkan negara-negara lain bagi memastikan setiap perjanjian yang dimeterai benar-benar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara inklusif dan mampan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top