MKT UMNO boleh pertimbang rayuan ahli dikenakan tindakan disiplin

MKT UMNO boleh pertimbang rayuan ahli dikenakan tindakan disiplin


yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO boleh mempertimbangkan sebarang rayuan dikemukakan mana-mana ahli dikenakan tindakan disiplin.

Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas perkara berkenaan menjadi antara agenda dibincangkan dalam Mesyuarat MKT parti itu, malam tadi.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan sama ada rayuan ke atas tindakan disiplin dikenakan terhadap bekas Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut dibincangkan atau sebaliknya.

“MKT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan dikemukakan mana-mana ahli dikenakan tindakan disiplin, selaras Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini, melaporkan UMNO Bahagian Sembrong mencadangkan supaya penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik semula, selaras matlamat memperkukuh parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MKT akan menunggu usul berkenaan dibawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan dalam Biro Politik parti.

Ahmad Zahid turut menyerahkan kepada MKT untuk memutuskan usul mengembalikan keahlian Hishammuddin yang digantung selama enam tahun, sejak Januari 2023.

Bagaimanapun, katanya, Hishammuddin sendiri masih belum mengemukakan sebarang rayuan atau permohonan maaf berhubung penggantungan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top