Dalam landskap pembangunan di Malaysia, FELDA terus kekal dan tidak dinafikan sebagai salah satu model transformasi dan kejuruteraan sosial yang paling berjaya di dunia.
Sejak ditubuhkan hampir tujuh dekad lalu (1956 – 2025), FELDA bukan sahaja berfungsi sebagai agensi pembangunan tanah, tetapi sebagai institusi kebangsaan yang membina kerangka sosial dengan teras utama membasmi kemiskinan.
Kejayaan ini lahir daripada satu model jelas yang menggabungkan penempatan terancang lagi tersusun, pembangunan komuniti secara menyeluruh dan operasi ladang yang bersepadu.
Inilah model FELDA yang unik dan turut menjadi rujukan dalam pengurusan tanah serta komoditi negara.
Model FELDA berdiri atas dua kompenan yang saling melengkapi, iaitu ladang peneroka di bawah pengurusan FELDA dan ladang komersial yang diuruskan anak syarikat FELDA iaitu FGV Holdings Berhad (FGV).
Ladang peneroka membina asas sejarah peneroka, membina memoir lagi nostalgia dan identiti komuniti FELDA hari ini.
Ia menjadi ladang hikmah yang mengeluarkan lebih 112,000 keluarga daripada kitaran kemiskinan tegar.
Pada masa sama, ladang komersial FGV berperanan sebagai enjin ekonomi yang memastikan FELDA memiliki sumber kewangan kukuh untuk melaksanakan agenda kesejahteraan peneroka secara berterusan.
Peranan ladang komersial sering disalah tafsir dan khilaf pandang sebagai entiti yang beroperasi terpisah daripada komuniti peneroka.
Hakikatnya, struktur komersial FELDA dan FGV telah wujud sekian lama untuk menyokong kebajikan peneroka dan kelestarian tanah rancangan.
Melalui ekosistem yang lengkap daripada ladang ke kilang, pemprosesan, logistik serta pasaran global, FGV terus cemerlang dalam menghasilkan produk makanan dan agri yang lestari ke mata dunia sebagai visinya.
Ramai yang masih tidak tahu bahawa kira-kira 70 peratus buah tandan sawit (BTS) segar yang diproses oleh FGV, diperoleh daripada peneroka FELDA serta pekebun kecil di seluruh Malaysia.
Pendapatan serta keuntungan yang dijana FGV digunakan untuk pembiayaan pelbagai program kebajikan, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), peningkatan infrastruktur, skim sokongan, bantuan produktiviti ladang serta pembangunan generasi FELDA yang sudah mencapai lima generasi.
Keupayaan komersial inilah yang membolehkan FELDA mengekalkan daya saing dalam industri sawit antarabangsa, sekali gus memberikan manfaat tidak langsung kepada peneroka di 11 wilayah.
Datuk Sulong Jamil Mohamed Shariff
Dalam konteks ekonomi global yang semakin kompleks, model FELDA memberikan perlindungan kepada peneroka melalui kestabilan pendapatan yang disokong oleh operasi komersial.
Turun naik harga komoditi walau menggerunkan tetap fenomena yang tidak dapat dielakkan.
Namun adanya ladang komersial membolehkan FELDA mengurus risiko melalui pendapatan tambahan yang konsisten.
Komoditi strategik negara
Hal ini memastikan kesejahteraan peneroka tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil ladang individu peneroka semata-mata, tetapi turut menerima manfaat daripada skala ekonomi FELDA dan FGV sebagai gabungan komoditi strategik negara.
Isu semasa yang membabitkan FELDA, FGV dan beberapa pihak lain, termasuk berkaitan perkara tanah dengan Kerajaan Negeri Terengganu, wajar dilihat dalam kerangka pentadbiran dan perundangan yang sewajar nya.
Rundingan antara kedua-dua pihak sedang berlangsung secara profesional, selaras dengan keperluan untuk memastikan kelangsungan operasi ladang serta kepentingan semua pihak dilindungi, khususnya pekerja FGV di ladang terbabit dan komuniti peneroka secara amnya.
FELDA dan FGV amat menghargai pendekatan konstruktif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam meneruskan dialog serta melanjutkan tempoh remedi, yang mencerminkan komitmen bersama untuk mencari penyelesaian yang adil dan berlandaskan undang-undang.
Bagi pihak peneroka, kami juga merakamkan penghargaan atas usaha menang-menang kedua belah pihak.
Menerusi pemantauan berkala, pengurusan ladang sentiasa mematuhi tatakelola operasi, rekod audit dan ketetapan perundangan yang ditetapkan.
Setiap aset ladang mempunyai dokumentasi lengkap dan operasi yang diselia dengan piawaian antarabangsa.
Ini memastikan sebarang perkara berbangkit dapat diselesaikan melalui saluran rasmi, bukan melalui persepsi, media atau salah tafsir.
Fokus kesejahteraan pekerja

Fokus utama FELDA dan FGV tetap sama iaitu memelihara kesejahteraan pekerjanya, komuniti peneroka dan memastikan operasi ladang dapat diteruskan tanpa gangguan dan sekatan.
Biarlah masa berubah.
FELDA akan terus memperkukuh modelnya melalui digitalisasi pengurusan ladang, penggunaan teknologi pertanian moden, peningkatan kecekapan pasaran dan pembangunan modal insan.
Kesepaduan fungsi antara FELDA dan FGV menjadi faktor kritikal dalam memastikan FELDA dan FGV terus relevan serta berdaya tahan dalam industri global.
Dengan memanfaatkan kekuatan komersial melalui FGV serta kapasiti sosial dan pembangunan komuniti melalui FELDA, model ini memberi kelebihan total serta strategik kepada negara dalam memastikan bekalan komoditi stabil dan mampan.
FELDA kini berada pada fasa penting untuk memperkukuh peranannya sebagai institusi pembangunan masyarakat moden.
Agenda pendigitalan, peningkatan produktiviti, kelestarian (ESG) serta penyusunan semula struktur dan punca ekonomi peneroka berada dalam landasan yang betul.
Gabungan pengalaman hampir 70 tahun dan kerjasama kukuh antara FELDA dan FGV memberikan jaminan bahawa komuniti peneroka akan terus menikmati manfaat jelas daripada model pembangunan ini.
Sebagai institusi yang dibina atas semangat memperkasakan rakyat, FELDA kekal komited untuk memastikan setiap peneroka dan generasi terus menikmati peluang lebih cerah.
Model FELDA yang menggabungkan dimensi sosial dan komersial ini terbukti berkesan.
Dengan sokongan semua pihak termasuk kerajaan negeri, ia akan terus menjadi contoh pembangunan masyarakat yang progresif dan mampan.
Oleh Datuk Sulong Jamil Mohamed Shariff
© New Straits Times Press (M) Bhd






