PASUKAN Penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai Dr Kama Shaffeei berjaya membangunkan Model Karakter BUDIMAN di bawah Geran UniMadani tahun 2024.
Program membabitkan rakan penyelidik iaitu Profesor Madya Dr Khalip Musa, Dr Mohd Syaubari Othman, Dr Mohd Riduan Mohd Jamil serta Dr Nor Mashitah Mohd Radzi itu dilaksanakan di Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) UPSI, membabitkan 10 pelajar UPSI sebagai fasilitator bertujuan membentuk generasi murid yang bijak, unggul, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Dr Kama yang juga Guru Besar SRSB berkata, program itu menyaksikan murid bersedia secara fizikal dan mental, aktiviti ‘energizer’ dan senamrobik, sekali gus memberi suntikan semangat kepada murid untuk menjayakan aktiviti yang penuh dengan pengajaran nilai positif dalam karakter BUDIMAN seperti nilai Bijak, Unggul, Disiplin, Integriti, Mesra, Adil dan Niat di lima stesen.
Menurutnya, program ini membabitkan lima stesen yang tidak hanya menyediakan aktiviti semata, tetapi bertema.
“Untuk Stesen Satu, ia adalah pengenalan diri atau Kenal Diri-Bijak Unggul yang bertujuan membantu murid menyedari kekuatan dan kelebihan diri potensi luar biasa untuk mencapai kecemerlangan.
“Aktiviti Stesen Dua menekankan kepentingan disiplin dalam kehidupan seharian menerusi aktiviti membina perancangan jadual harian yang berstruktur dan motivasi dalaman untuk mereka lebih fokus dan teratur dalam kehidupan seharian.
“Seterusnya, adalah Stesen Tiga yang bertemakan Cabar Diri-Integriti dan Mesra. Di stesen ini, murid
didedahkan kepada situasi realistik yang menguji kecekapan mereka dalam berinteraksi dengan rakan secara berintegriti dan mesra bertujuan memupuk nilai integriti, kerjasama dan komunikasi berkesan dalam kalangan murid.
“Selain itu, ia dapat meningkatkan keyakinan murid dalam bertindak secara positif dalam membantu sesama rakan,” katanya.
Di Stesen Empat, ia memberi fokus kepada konsep keadilan dan niat baik yang menyaksikan dilatih untuk mempunyai empati dan niat baik, sambil membentuk pemikiran kritikal dalam menilai keadilan dalam sesuatu tindakan.
Akhir sekali, Stesen Lima yang mengadakan bertemakan Super Budiman-Cita-Cita untuk mendorong murid mengembangkan pemikiran kritis dan kreatif serta membentuk cita-cita dan adab yang positif.
Dr Kama berkata, aktiviti ini menggalakkan komunikasi dan kerja berpasukan yang berkesan melalui pelbagai permainan yang menyeronokkan.
Bukan itu saja, murid juga diberi pendedahan mengenai nilai dan etika sebagai panduan hidup yang baik.
“Program ini berakhir dengan sesi refleksi yang memberi peluang kepada murid untuk berkongsi pengalaman serta pembelajaran yang diperoleh di setiap stesen.
“Program Karakter BUDIMAN ini berjaya mencapai objektif melahirkan murid yang berdaya saing, berdisiplin dan mempunyai akhlak yang mulia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd