firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Model penswastaan Liga Malaysia (Liga M) perlu diteliti semula bagi memastikan konsep penswastaan yang berasaskan perniagaan benar-benar mencapai tujuannya.
Kegagalan kebanyakan kelab Liga M meraih keuntungan sejak dasar penswastaan sepenuhnya dilaksanakan pada 2019 dilihat gagal membantu kantung pasukan.
Sebaliknya hutang kebanyakan pasukan terus melonjak dengan beberapa kelab dibelenggu masalah tunggakan gaji yang tersangkut berbulan-bulan lamanya.
Menurut pandangan peribadi pemilik kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, konsep perniagaan dalam penswastaan Liga M baginya jauh tersasar di mana pulangan yang diharapkan tidak berlaku.
Katanya, secara asas konsep perniagaan yang bermodalkan RM1 akan meraih pulangan RM2, namun dalam Liga M ia menjadi negatif dengan meraih 10 sen atau kosong pulangan.
“Ini badan swasta dan bukan negeri (kerajaan), Swasta adalah dari RM1 kena menjana kepada RM2, jadi kalau konteks RM1 tetapi tidak dapat menjana pulangan, itu bukan konsep yang tepat dan betul dari segi konsep penswastaan (Liga M).
“Melainkan kita kata kita lupakan penswastaan, bola sepak adalah di bawah tanggungjawab persatuan atau kerajaan negeri itu soal kedua. Tapi bila mana kita ambil pendekatan ia penswastaan, jadi konsep RM1 modal itu perlu menjana kewangan, perlu difikirkan.
“Sekarang ini itu tidak berlaku, matematik itu tidak berlaku. RM1 akan berkurang menjadi kosong atau satu sen sebagainya.
“Perniagaan yang biasa kita tahu modal RM1 boleh menjana kepada RM2, tapi modal bola sepak (di Liga M) hari ini RM1, esoknya akan menjadi 10 sen.
“Kita terpaksa bina semula 10 sen kepada RM1 dan itulah cabaran. Dan sebab itu, kita perlukan penajaan yang berhati besar untuk membantu kita dalam kos-kos operasi,” katanya.
Ketika ini, saingan Liga M berdepan krisis kewangan cukup getir dengan ada beberapa pasukan berdepan masalah aliran tunai.
Justeru, Mohd Daud menyarankan agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melihat dan mengkaji beberapa mekanisma untuk mengurangkan beban kelab dengan mencadangkan agar pasukan pembangunan yang diletakkan sebagai syarat utama mendapatkan pelesenan Liga M dilihat semula.
Jelasnya, senario bola sepak Malaysia adalah lebih kepada elemen persaingan atau pertandingan di peringkat atasan namun di peringkat bawahan babitkan pasukan di Piala Presiden dan Piala Belia tidak mendatangkan keuntungan kepada kelab.
“Bagi saya yang membabitkan pembangunan itu boleh dipertimbangkan semula, sebab ini tanggungjawab pihak yang mempunyai geran atau bajet untuk tujuan pembangunan dalam membantu bakat muda, pendedahan, latihan dan sebagainya.
“Tetapi dalam konteks pertandingan, ia membabitkan (jualan) tiket. Banyak pasukan (pasukan bawahan) yang kita tanggung tidak ada tiket dijual, ia adalah satu hala sahaja. Hanya kos, tidak ada pulangan kepada kita. Jadi ada tiga pasukan yang tidak ada tiket sama sekali.
“Bagi saya secara peribadi, kita hanya fokus kepada Liga Super atau yang hampir sama mempunyai dimensi pulangan kewangan sama ada dari penajaan.
“Ataupun jika kita menerima geran daripada kerajaan untuk membangunkan pembangunan sukan tiada masalah, tetapi mestilah one to one bajet daripada pihak tertentu barulah kita anggap lebih adil kepada syarikat swasta,” katanya.
Untuk rekod, setiap kelab yang bertanding dalam Liga M wajib menyediakan tiga pasukan pembangunan dalam pertandingan Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia yang sebenarnya menambah kos operasi setiap pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd