‘Moga gimnastik Filipina berkembang maju’

‘Moga gimnastik Filipina berkembang maju’


ATLET gimnastik artistik sensasi Carlos Edriel Yulo mempamerkan persembahan menakjubkan untuk memenangi acara senaman lantai lelaki akhir Paris 2024, sekali gus pingat Sukan Olimpik pertama Filipina dari gelanggang gimnastik.

Kilauan pingat emas Yulo juga merupakan yang pertama dijelmakan atlet lelaki kontinjen Filipina selepas jaguh angkat berat negara Asia Tenggara itu Hidilyn Diaz merangkul emas di Sukan Olimpik Tokyo tiga tahun lalu.

“Saya tidak tahu nak cakap apa…

“Kami adalah negara yang sangat kecil… Jadi untuk mendapat pingat emas adalah sesuatu yang amat besar bagi kami. Saya dedikasikan ini kepada rakyat Filipina juga yang menyokong saya,” kata atlet berusia 24 tahun itu selepas acara di Arena Bercy tersebut, yang sebelum ini terlepas podium pada edisi Tokyo 2020.

Di pentas perlawanan akhir, Yulo meraih 15,000 mata, mengatasi juara Tokyo 2020, Artem Dolgopyat dari Israel dengan hanya 0.034 mata.

Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik atlet Great Britain, Jake Jarman hanya 0.067 mata di belakang pemenang pingat emas.

Atlet Filipina yang bertarung di Olimpik Paris 2024 sebelum ini telah dijanjikan sebuah kondominium dua bilik tidur serba lengkap di Bandar Taguig, sekiranya memenangi pingat emas dalam temasya sukan berprestasi tinggi berkenaan.

Mengenai habuan itu, Yulo berterima kasih atas ganjaran berkenaan merupakan perkara kedua kepada gelaran dunia yang baru dimenanginya.

“Ia hanya bonus untuk saya. Dan ini yang penting. Ini hasil kerja keras saya dan orang yang benar-benar membantu saya. Saya tahu kejayaan saya juga kejayaan mereka.

“Saya gembira dapat emas dan juga memenangi sebuah rumah,” katanya sambil mencengkam pingat di lehernya.

Yulo, yang berlatih selama tujuh tahun di Jepun berikutan kekurangan peluang di Filipina, berharap kemenangan bersejarah itu akan membuka pintu kepada kanak-kanak Filipina untuk menceburi sukan berkenaan.

“Semoga gimnastik di negara ini akan berkembang maju,” katanya.

INFO

Kontinjen Filipina Paris 2024

1. EJ Obiena (olahraga)

2. Lauren Hoffman (olahraga)

3. John Cabang-Tolentino (olahraga)

4. Carlos Yulo (gimnastik)

5. Levi Jung-Ruivivar (gimnastik)

6. Aleah Finnegan (gimnastik)

7. Emma Malabuyo (gimnastik)

8. Elreen Ando (angkat berat)

9. John Ceniza (angkat berat)

10. Vanessa Sarno (angkat berat)

11. Joanie Delgaco (mendayung)

12. Eumir Marcial (tinju)

13. Nesthy Petecio (tinju)

14. Carlo Paalam (tinju)

15. Hergie Bacyadan (tinju)

16. Aira Villegas (tinju)

17. Jarod Hatch (tinju)

18. Kayla Sanchez (renang)

19. Dottie Ardina (golf)

20. Bianca Pagdanganan (golf)

21. Sam Catantan (lawan pedang)

22. Kiyomi Watanabe (judo)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top