Mohamad Norza dipilih Ahli Majlis BWF

Mohamad Norza dipilih Ahli Majlis BWF


PRESIDEN Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi penggal 2025-2029, pada Sabtu.

Dalam kenyataan hari ini, BAM merakamkan ucapan tahniah kepada Mohamad Norza dan menyifatkan pemilihan itu mencerminkan pengiktirafan komuniti badminton dunia terhadap kepimpinan, visi dan komitmen berterusan beliau terhadap kemajuan sukan itu di Malaysia mahupun antarabangsa.

“BAM, yang mempunyai wakil dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BWF di Xiamen, China berasa bangga apabila wakil Malaysia terus mendapat tempat dalam kepimpinan tertinggi badan induk badminton dunia,” menurut kenyataan itu.

BAM turut mendoakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia itu terus berjaya dalam menjalankan tugas baharunya untuk berkhidmat kepada komuniti badminton dunia.

Pada November lepas, tokoh korporat berusia 58 tahun itu dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup BAM selepas meletakkan jawatan sebagai Presiden BAM pada Ogos.

Dalam pada itu, Khunying Patama Leeswadtrakul dari Thailand sah dipilih sebagai Presiden BWF yang baharu.

Menurut kenyataan dalam laman sesawang rasmi BWF, Leeswadtrakul merupakan wanita kedua yang pernah memegang jawatan Presiden BWF.

Beliau menang tanpa bertanding dan menggantikan Poul-Erik Hoyer Larsen, yang tempoh 12 tahun perkhidmatannya sebagai Presiden BWF tamat hari ini.

Hoyer kemudian dipilih sebagai Naib Presiden Kehormat Seumur Hidup BWF pada AGM tersebut.- Bernama



Source link

OR

Scroll to Top