Mohamed Ghaddar dakwa ditipu, Presiden TRW mahu bincang

Mohamed Ghaddar dakwa ditipu, Presiden TRW mahu bincang


Annuar (empat dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Serta Rakan Penaja The Real Warriors Musim 2025/2026 di Kota Bharu pada Jumaat.

KOTA BHARU – “Apa saja masalah, duduk dan bincang.”

Demikian tegas Presiden The Real Warriors (Kelantan TRW), Tan Sri Annuar Musa mengenai dakwaan bekas penyerang import Kelantan, Mohamad Ghaddar bahawa beliau ditipu oleh pengurusan kelab berkenaan berhubung pengambilan pemain import.

Menurut Annuar, pihaknya akan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Saya sudah memberi nasihat kepada pengurusan supaya tidak menjawab di mana-mana media sosial selepas Mohamad Ghaddar meluahkan perkara itu di Instagram kerana tidak semua orang di luar sana faham situasi berkenaan,” katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain serta Rakan Penaja The Real Warriors Musim 2025/2026, pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan Mohamad Ghaddar mendakwa dirinya ditipu oleh pengurusan The Real Warriors berhubung pengambilan pemain import baharu kelab itu.

Mohamad Ghaddar menyifatkan pengurusan kelab berkenaan sebagai tidak jujur dan hanya membuat janji palsu berkenaan pemain import yang sudah dibawanya, Moaiad Alkhouli.

Katanya, Moaiad telah ditawarkan kontrak dan melepasi ujian kesihatan, namun secara tiba-tiba pengurusan kelab tidak lagi membalas sebarang mesej yang dihantar.

Dalam pada itu, Annuar turut mendakwa Mohamad Ghaddar telah melanggar peraturan dengan memuat naik surat rahsia (confidential) di media sosial.

Menurut Annuar, pihaknya mempunyai garis panduan yang ditetapkan sebelum menerima mana-mana pemain.

“Kita kena semak, adakah dia ejen sah dan mempunyai sijil daripada FIFA, selain pemain berkenaan perlu lulus pemeriksaan perubatan dan kecergasan, serta beberapa perkara lain yang perlu diambil kira,” ujarnya.

Jelasnya, persetujuan untuk mengambil pemain bukan terletak atas keputusan beliau seorang, sebaliknya turut melibatkan semua pihak dalam pengurusan kelab termasuk ketua jurulatih.

“Kita faham dia nak jadi ejen dan mahu tawarkan pemain, maka kita kena ikut peraturan seperti biasa,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top