Mohd Asna nafi terlibat perjanjian berbaur ugutan

Mohd Asna nafi terlibat perjanjian berbaur ugutan


am@hmetro.com.my

Seremban: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan Datuk Mohd Asna Amin hari ini menafikan beliau terlibat dengan perjanjian berbaur ugutan dan menyifatkan dakwaan itu menyimpang daripada fakta sebenar.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu berkata, tuduhan yang dilemparkan Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard itu hanya bertujuan memburuk-burukkan nama baiknya.

“Fakta yang betul ialah ia isu peribadi antara dua pihak yang boleh menjurus kepada situasi lebih buruk jika dibiarkan begitu sahaja.

“Benar saya menjadi saksi dalam surat yang disebarkan di media sosial itu.

“Namun, saya bertindak demikian kerana mendamaikan dua pihak yang terbabit dalam pertelingkahan isu peribadi,” katanya di sini, malam ini.

Tegasnya, beliau tiada maklumat terperinci berkaitan skandal seperti yang didakwa berlaku membabitkan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Ma’arop.

“Dalam surat itu tidak disebut pun apa-apa mengenai skandal yang didakwa berlaku,” katanya.

Jelasnya, Mazalan telah menghantar surat kepada UMNO Bahagian Seremban memaklumkan ingin bercuti daripada jawatan sebagai Ketua Bahagian mulai 2 April lalu dengan alasan masalah kesihatan.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban yang bermesyuarat pada 3 April turut membincangkan isu terbabit dan menyerahkan laporan mengenainya kepada pengurusan tertinggi parti.

“Terpulang kepada pihak tertinggi parti untuk mengambil tindakan selanjutnya. Sebagai ahli, saya akan patuh kepada sebarang keputusan yang akan dibuat,” katanya.

Terdahulu, Chegu Bard mendakwa Mohd Asna terlibat dalam surat perjanjian mengandungi unsur ugutan, dengan surat didakwa disediakan seorang lelaki yang mendesak Mazalan meletak jawatan sekiranya tidak mahu tindakan diambil terhadapnya.

Difahamkan ia mempunyai kaitan dengan skandal peribadi yang didakwa melibatkan Mazalan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top