Mohd Farid hilang sejak Rabu

Mohd Farid hilang sejak Rabu



am@hmetro.com.my

Tampin: Pembantu kedai makan, Mohd Farid Zulkafli, 36, dikhuatiri hilang selepas keluar bekerja pada pagi Rabu lalu dari rumahnya di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, kakaknya memberitahu, lelaki itu keluar dari rumah kira-kira jam 6 pagi Rabu lalu dan tidak pulang hingga sekarang.

“Kira-kira jam 4 petang semalam, laporan polis dibuat oleh seorang wanita memaklumkan adik lelakinya keluar dari rumah untuk pergi bekerja di kedai makan dekat Gemas.

“Sehingga laporan dibuat, lelaki berkenaan masih belum pulang ke rumahnya dan rumah ibunya di Felda Serting Hilir, Jempol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu kali terakhir dijumpai majikannya di Taman Sri Rompin, Jempol, kira-kira jam 4 petang Rabu dan turut memaklumkan ingin pulang ke rumah ibunya di Felda Serting Hilir.

“OH (orang hilang) dikenali sebagai Mohd Farid Zulkafli, berbangsa Melayu dengan ketinggian 156 sentimeter, berbadan kurus dan berambut pendek hitam.

“Pakaian terakhir baju-T berwarna biru bertulisan Barisan Nasional dan seluar slack hitam. OH tidak mempunyai telefon bimbit dan juga kenderaan,” katanya.

Justeru beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan OH diminta untuk menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Rodzi Md Saad (Ketua Polis Balai Gemas) ditalian 07-9481221 dan boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Tampin ditalian 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top