am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menuntut seorang pengguna laman Facebook menarik balik tuduhan dan memadamkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berhubung isu penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.
Sekiranya individu terbabit yang dikenali sebagai Muhammad Hafiz Sahidi gagal menarik kenyataan itu dan membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam, Mohd Na’im menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang.
Ia termasuk bagi mendapatkan perintah injunksi dan menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, termasuk kos, faedah dan sebarang tanggungan yang diperintahkan mahkamah.
Tuntutan itu dibuat Mohd Na’im melalui surat tuntutan yang dihantar kepada Muhammad Hafiz yang beralamat di Marang Terengganu, melalui firma guaman Tetuan Akberdin & Co.
Menurut surat tuntutan itu, Mohd Na’im mendakwa, individu terbabit telah menggunakan akaun Facebook atas nama ‘Hafiz Sahidi’ dengan memuat naik beberapa hantaran berbaur fitnah.
Berikutan itu, surat berkenaan menyatakan, peguam yang mewakili menteri terbabit diarahkan anak guamnya bahawa, tuduhan berkenaan adalah bersifat melulu, menuduh dan palsu.
Surat itu menyatakan, kenyataan yang dipertikaikan itu dibuat dengan tujuan untuk mendedahkan anak guamnya kepada kebencian, penghinaan, ejekan umum, mencemarkan integriti dan peranan tadbir urus di mata masyarakat.
“Kenyataan berbaur fitnah itu sama sekali tidak benar terhadap watak, integriti dan reputasi anak guam kami, baik dalam kapasiti peribadi mahu pun rasmi.
“Tindakan anda adalah serangan yang disengajakan dan berniat jahat, bertujuan menjejaskan keyakinan awam terhadap anak guam kami dan mendedahkan beliau kepada kebencian dan penghinaan masyarakat,” kata surat tuntutan itu.
Selain menarik balik tuduhan dan memadam semua kenyataan berbaur fitnah di semua platform media sosial dan laman sesawang, surat itu juga menuntutlelaki terbabit menghentikan daripada menerbit atau menyebabkan penerbitan sebarang kenyataan terhadapnya.
Dia dikehendaki membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam tempoh 48 jam daripada tarikh penerimaan surat tuntutan itu dan ia perlu disiarkan di semua media sosial dan laman sesawang miliknya selama 30 hari.
Muhammad Hafiz juga diminta membuat tawaran pampasan munasabah kepada Mohd Na’im bagi kerosakan, penghinaan dan aib yang dialami akibat kenyataan berbaur fitnah berkenaan.
Surat tuntutan itu turut menyatakan, jika Muhammad Hafiz bersedia memperbetulkan tuduhan dan memohon maaf, tindakan itu akan mengurangkan jumlah ganti rugi yang layak diterima oleh Mohd Na’im.
Bagaimanapun katanya, jika lelaki itu memaksa Mohd Na’im melalui proses perbicaraan yang panjang dan melelahkan bagi membersihkan namanya, satu-satunya cara untuk memulihkan reputasi ialah melalui pemberian gantirugi yang besar oleh mahkamah.
Mohd Na’im sebelum ini dilaporkan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah dan membuat provokasi politik untuk menjatuhkan kredibilitinya dan kerajaan Madani, terutama membabitkan sensitiviti agama serta institusi pondok.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada 24 Oktober lalu berhubung hantaran berbaur fitnah yang disebarkan oleh akaun itu dan siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dimohon.
Katanya, beliu turut memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membantu siasatan dan mengenal pasti identiti sebenar penyebar kenyataan terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd






