Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkongsikan momen ketika dia berada di sebelah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat.
Menerusi hantaran itu, Shahar berkata disebalik ketegasan yang sering dilihat ramai, namun dia dapat mengenal sisi arwah yang sentiasa menggenggam tasbih dan berzikit ketika berada di dalam dewan.
BACA: “Selama 16 Tahun Saya Melihat Kebaikan Arwah Suami” – Zizie Izette
“Ramai mengenal ketegasannya, tetapi saya mengenal sisi yang jarang terlihat. Jarinya sentiasa tergengam tasbih bila berada di dalam dewan.
“Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami, zikir yang tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat hati ini merasa damai. Itulah bunyi yang kini tinggal sebagai kenangan,” tulisnya.
Shahar turut berkongsikan momen memaparkan Bung Moktar sedang membetulkan pin pada bajunya yang dianggap mungkin detik kecil tetapi penuh makna.
“Dalam video ini, beliau sedang membetulkan pin saya; satu detik kecil, tetapi penuh makna. Begitulah beliau: membantu dalam senyap, hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu.
“Semoga Allah melapangkan perjalanannya, mengampunkan segala salahnya, dan menempatkannya di taman-taman yang tenang.
“Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang. Zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang. Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang, Semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang,” katanya.






