Mohd Shazli dilantik pemangku CEO MFL

Mohd Shazli dilantik pemangku CEO MFL


Laporan Sukan Sinar berkaitan MFL gesa lantik CEO dalam kalangan sendiri. Gambar kecil: Mohd Shazli

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL bagi memastikan kelancaran operasi dan kesinambungan kepimpinan badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M).

Menurut pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu, pelantikan Mohd Shazli, yang memiliki pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak telah berkhidmat sebagai COO MFL sejak 2018 berkuat kuasa 3 Mac.

“Beliau memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi pertandingan dan sekretariat MFL. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang mendalam tentang landskap bola sepak Malaysia, Mohd Shazli dijangka dapat memimpin MFL dengan berkesan dalam tempoh peralihan ini,” kata MFL dalam satu kenyataan pada Isnin.

MFL sebelum ini mendapat sentuhan kepakaran luar selepas bekas Delegasi LaLiga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi menggantikan posisi Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak bersama MFL selaku CEO pada 31 Ogos 2024.

Bagaimanapun Rossi yang mengendalikan MFL sejak September tahun lalu hanya sempat bersama badan pengendali itu selama lima bulan memegang jawatan terbabit sebelum dikendalikan Mohd Shazli.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail sebelum ini menyarankan MFL untuk melantik individu yang berada dalam badan pengelola Liga-M bagi mengisi jawatan dikosongkan Rossi.

Ditanya mengenai individu yang mampu mengendalikan MFL, bekas pemain pertahanan Harimau Malaya dan Pahang itu mencadangkan Mohd Shazli sebagai individu yang sesuai buat masa ini.

“Sebaiknya, beri peluang kepada Mohd Shazli kerana beliau sudah lama bersama MFL dan bermula dari bawah sejak era Datuk (Ab) Ghani (Hassan) dan (Datuk) Stuart (Ramalingam).

“Malah, yang paling penting, beliau lebih arif dalam sistem pengurusan Liga-M bagi memastikan perjalanan liga berjalan lancar,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top