Mohd Sumali bakal presiden sepak takraw antarabangsa?

Mohd Sumali bakal presiden sepak takraw antarabangsa?


DATUK Mohd Sumali Reduan tidak menolak kemungkinan untuk memimpin Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), walaupun beliau belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu berkata, terlalu awal untuk keputusan sama ada mahu mencabar jawatan Presiden ISTAF kerana mesyuarat agung tahunan (AGM) persekutuan itu hanya dijadualkan berlangsung pada 2026.

“Saya belum berasakan untuk umumkan apa-apa lagi, bila sampai masa (untuk AGM), baru saya boleh berfikir dengan mendalam. Jawatan itu memerlukan komitmen yang sangat tinggi, buat masa ini saya banyak tanggungjawab dengan PSM.

“Fokus untuk masa ini adalah sepak takraw di Malaysia, terutamanya pembangunan daripada peringkat akar umbi. Walaupun sepak takraw Malaysia dah sampai tahap yang kita boleh berbangga, tetapi saya nak buat banyak lagi,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Boonchai Lorhpipat, Naib Presiden ISTAF bagi penggal 2022-2026, kini menggalas tanggungjawab sebagai pemangku Presiden selepas Mej Jen Dr Charouck Arirachakaran dari Thailand meninggal dunia pada Ogos tahun lepas.

Mohd Sumali antara calon yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan nombor satu ISTAF, dengan ahli gabungan boleh memanggil untuk mesyuarat agung luar biasa (EOGM) dalam masa terdekat untuk melantik presiden baharu sebelum AGM itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, Mohd Sumali dilihat sudah ada rancangan untuk beberapa penambahbaikan dalam ISTAF untuk meningkatkan lagi prestij sukan itu, termasuk mengadakan undian bagi kejohanan seperti Sukan SEA dan Piala Raja Thai, sekurang-kurangnya sebulan berbanding dibuat hanya beberapa hari sebelum pertandingan.

“Kita mahu sepak takraw maju hingga dapat dipertandingkan di Olimpik, bukannya dilihat sebagai permainan tahap kampung, jadi undian harus dibuat awal supaya pasukan boleh membuat persiapan.

“Sistem Challenge pula hanya ada dua kali…Tak kira kita menang atau kalah, kita akan kehilangan challenge walaupun ia adalah kesilapan pengadil. Kita dah hantar surat kepada ISTAF untuk tukar sistem supaya challenge dikekalkan jika kita menang, ini mungkin ambil masa beberapa bulan untuk diimplementasi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader menyatakan sokongan penuh kepada Mohd Sumali sekiranya beliau berhasrat memimpin badan induk sepak takraw dunia itu.

“Kita harapkan seorang pemimpin yang memahami sepak takraw sepenuhnya dan bervisi tinggi untuk memimpin badan ini hingga dapat dipertandingkan di pentas Olimpik,” katanya yang juga Setiausaha Agung ISTAF. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top