Mohd Sumali menang tanpa bertanding Presiden PSM

Mohd Sumali menang tanpa bertanding Presiden PSM


DATUK Mohd Sumali Reduan mempertahankan jawatan sebagai Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi penggal kedua setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan badan induk itu.

Perkembangan tersebut dikongsi oleh Jawatankuasa Bebas Pemilihan Jawatan Tertinggi PSM, Profesor Dr Mohad Anizu Mohd Nor pada Isnin.

Pengesahan tersebut dibuat selepas jawatankuasa itu menerima senarai pencalonan rasmi daripada ahli-ahli gabungan dan bersekutu PSM setelah tarikh tutup pencalonan pada Ahad.

Berdasarkan senarai tersebut, Mohd Sumali menjadi calon tunggal yang menerima 21 pencalonan, sekali gus tiada pertandingan bagi jawatan nombor satu itu sempena Mesyuarat Agung Tahunan PSM pada 29 Jun ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad menyuarakan kesediaannya untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan nombor satu badan induk itu untuk penggal 2025–2028.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, seramai enam calon bertanding bagi merebut dua kerusi yang ditawarkan.

Mereka terdiri daripada Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang meraih 16 pencalonan, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (15 pencalonan) dan Datuk Akramuddin Abd Aziz (tiga pencalonan).

Turut bertanding ialah Datuk Abu Jimi Samat dan Syed Azmir, masing-masing menerima dua pencalonan, manakala Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh satu pencalonan.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan, Abu Jimi, Abdul Halim dan Abdul Puhat turut menawarkan diri untuk merebut jawatan Naib Presiden.

Calon lain ialah Mohd Husni Abdullah, Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman, Abdul Rashid Adlie dan Datuk Dr. Najmil Faiz Mohd Aris.

Lapan calon itu akan bersaing untuk merebut tiga kerusi Naib Presiden.

Borang penerimaan calon akan diedarkan kepada mereka yang bertanding dan perlu dikembalikan kepada Jawatankuasa Bebas Pemilihan Jawatan Tertinggi PSM pada atau sebelum Rabu.



Source link

OR

Scroll to Top