TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi sah dilantik sebagai Pemangku Presiden badan induk itu berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM menerima peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden dalam Mesyuarat Khas Kedua Penggal 2025–2029 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.
“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 Statut FAM, Timbalan Presiden paling lama berkhidmat akan memangku jawatan Presiden sehingga Kongres FAM berikutnya yang dijadual berlangsung tahun hadapan.
“Sehubungan itu, mesyuarat berkenaan sebulat suara menamakan Datuk Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM bagi mengisi kekosongan berkenaan,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, FAM turut menjelaskan Joehari telah menghantar surat peletakan jawatannya baru-baru ini.
Menurut FAM, badan induk itu terpaksa akur dengan permintaan beliau dan mengucapkan penghargaan serta terima kasih atas segala sumbangan yang telah diberikan.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM berasa terharu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Datuk Joehari atas segala sumbangan, jasa, dedikasi dan komitmen beliau sepanjang bersama FAM sejak beliau dipilih sebagai Naib Presiden pada 2017 dan seterusnya Presiden pada 15 Februari 2025.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM juga mendoakan agar Datuk Joehari sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, diberkati dalam segala urusan dan terus dapat menyumbang kepada bola sepak negara,” kata kenyataan itu lagi.