nuratikah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Agensi pelancongan, NUH Travel & Tours Sdn Bhd (NUH Travel) menegaskan komitmen penuh syarikat itu dalam usaha mengesan keberadaan pelakon, Nadia Kesuma, yang dilaporkan tidak menaiki penerbangan sambungan ketika transit di Jeddah, Khamis lalu.
Menerusi satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan pihaknya sudah melaksanakan usaha pengesanan secara serius dan teratur, selain memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berautoriti sepanjang proses pencarian berkenaan.
“Usaha ini turut membabitkan koordinasi bersama Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, wakil Muassasah selaras dengan status visa jemaah terbabit dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.
“Inisiatif ini membabitkan koordinasi rasmi dan komunikasi berterusan bersama semua pihak berkaitan bagi memastikan setiap saluran yang sah serta relevan digunakan sebaiknya,” katanya.
Katanya, pihak syarikat sentiasa mengambil berat terhadap aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan jemaah.
Pada masa sama, pihaknya akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan profesional sehingga Nadia berjaya ditemui.
“Sehubungan itu, NUH Travel merendah diri memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar jemaah terbabit berada dalam keadaan selamat, sihat dan dapat ditemui semula dengan segera.
“Sebarang perkembangan rasmi berhubung insiden berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi NUH Travel,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, pelakon itu dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz.
Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan bahawa Nadia dikesan sudah meninggalkan lapangan terbang Jeddah.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata ia berdasarkan rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Arab Saudi, selepas pencarian dilakukan pelbagai pihak termasuk Konsular Malaysia di negara terbabit.
Menurutnya, laporan polis akan dibuat selepas 20 jam proses pencarian dilakukan dengan mengikut prosedur operasi standard prosedur (SOP).
© New Straits Times Press (M) Bhd






