Penganjur Konsert Pentas RadjaWali iaitu Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) tampil memberi penjelasan berhubung kekecohan yang berlaku, termasuk isu ‘blackout’ sistem bunyi pada penghujung acara.
Menurut wakil penganjur, keputusan untuk memulakan konsert sedikit lewat dibuat atas dasar menghormati waktu solat Isyak memandangkan lokasi penganjuran berhampiran kawasan kediaman dan masjid.
Katanya, pihak penganjur memilih untuk tidak memulakan acara ketika azan sedang berkumandang atau ketika jemaah menunaikan solat.


“Isyak masuk sekitar 8.30 malam dan selesai lebih kurang 8.40 malam. Sebab itu kami mula pada 8.50 malam. Ini bukan sengaja dilewatkan, tetapi sebagai tanda hormat kepada sensitiviti agama dan penduduk setempat,” dakwa wakil penganjur dalam sebuah kenyataan media.
Mengulas insiden sistem bunyi dimatikan secara tiba-tiba, wakil penganjur memaklumkan pihaknya sudah cuba berunding dengan pengurusan Idea Live Arena serta wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di lokasi bagi membolehkan Wali Band menyampaikan lagu terakhir.
Katanya, walaupun permit hiburan dalaman sah hingga jam 1 pagi, permit venue pula hanya sehingga jam 12 tengah malam, namun persembahan masih boleh dilanjutkan jika ada persetujuan bersama.



“Kami mohon ruang sampai 12.30 tengah malam supaya persembahan boleh ditutup dengan baik. Kami juga sanggup tanggung risiko termasuk hilang deposit RM20,000 atau dikenakan denda, asalkan penonton puas hati dan konsert berakhir elok.
“Tapi pihak venue minta surat kelulusan bertulis dengan cop rasmi MBPJ ketika itu, sedangkan perkara itu memang mustahil disiapkan pada tengah malam,” dakwa wakil penganjur.
Wakil penganjur berkata, rundingan kemudian membawa kepada persetujuan secara lisan sekitar jam 11.55 malam untuk membenarkan satu lagu terakhir sebelum pentas ditutup.
Pihak penganjur mendakwa sudah memaklumkan kepada Wali Band supaya membuat pengumuman dan menamatkan persembahan secara teratur, namun sebaik sahaja lagu yang sedang dimainkan berakhir, sistem bunyi dimatikan tanpa memberi ruang kepada artis membuat penutup atau mengucapkan selamat tinggal.
Katanya, situasi itu mencetuskan kekeliruan dan kemarahan penonton, selain memohon maaf kepada semua peminat yang hadir.
“Kami sudah cuba sedaya upaya untuk meredakan keadaan, tetapi usaha itu tersekat kerana ketegasan pihak venue yang langsung tidak mahu bertolak ansur,” dakwa wakil penganjur lagi.






