September 8, 2024

MOM jawab pegawai lebih ramai daripada atlet ke Olimpik Paris

MOM jawab pegawai lebih ramai daripada atlet ke Olimpik Paris


KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan semua pegawai ke Sukan Olimpik Paris 2024 mempunyai peranan penting dalam memastikan atlet mendapat sokongan yang diperlukan ketika bertanding di temasya terbesar dunia itu.

MOM dalam satu kenyataan berkata, kontinjen negara ke Paris terdiri daripada 26 atlet dan 40 pegawai termasuk 15 pakar teknikal, 11 kakitangan sokongan, sembilan pengurusan dan sekretariat serta lima pengurus pasukan.

Menurut majlis itu, semua 15 jurulatih dan pengarah teknikal bertanggungjawab membabitkan latihan, pembangunan strategi, dan prestasi atlet.

“Bagi 11 kakitangan sokongan pula, pasukan ini merangkumi pakar perubatan, ahli fisioterapi, tukang urut, jurulatih kecergasan, pegawai kesihatan mental, mekanik, dan penganalisis prestasi, yang penting dalam mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental atlet serta memastikan atlet berada pada tahap prestasi terbaik.

“Sekumpulan sembilan pegawai, diketuai oleh ketua kontinjen, Datuk Hamidin Mohd Amin dan dibantu timbalannya, Datuk Nicol David memainkan peranan menguruskan pendaftaran atlet dan pegawai, logistik, hubungan media, keselamatan dan koordinasi dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara). Peranan mereka adalah kritikal untuk memastikan operasi kontinjen berjalan lancar.

“Lima pengurus pasukan pula akan mengiringi atlet masing-masing dan menguruskan keperluan mereka,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan sama turut memaklumkan MOM sebagai penjaga Sukan Olimpik di Malaysia, dikehendaki oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk memastikan semua atlet negara menerima sokongan yang menyeluruh.

“Ini termasuk jurulatih, pakar teknikal, dan pelbagai perkhidmatan penting untuk mengoptimumkan prestasi. Pembiayaan disediakan sebahagiannya oleh badan-badan IOC, bersama dengan sumbangan daripada MSN dan ISN.

“MOM juga ingin menekankan semua perbelanjaan dirancang dengan teliti bagi memastikan kejayaan atlet negara. Pakaian rasmi dan bagasi yang menjadi perhatian ditaja sepenuhnya rakan kongsi lama kami, Yonex Sunrise Malaysia dan Samsonite Malaysia, memastikan tiada beban kewangan tambahan ke atas MOM atau atlet-atlet,” katanya.

Segelintir pihak sebelum ini mempersoalkan bilangan 40 pegawai yang akan ke Olimpik Paris, lebih ramai berbanding hanya 26 atlet yang berjaya melayakkan diri beraksi di temasya itu yang boleh menjurus kepada pembaziran wang rakyat. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top