LENGGONG: Perak berada pada momentum yang kukuh dalam menjayakan sembilan agenda utama yang digariskan bagi memacu sosioekonomi negeri menjelang tahun 2030.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, memasuki tahun ketiga pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, 108 daripada 272 projek dan inisiatif telah pun dijayakan, 128 sedang dilaksanakan manakala 36 lagi di peringkat pra pelaksanaan.
“Terdapat 127 lagi projek baharu sudah dikenal pasti untuk dimasukkan dalam Dashboard Perak Sejahtera 2030 untuk dipantau pelaksanaannya,’’ katanya ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Pelan Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong di sini semalam.
Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 15 Jun 2022 menggariskan sembilan agenda utama iaitu Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Pembuatan Keputusan Berpacukan Data, Koridor TVET Malaysia dan Perlombongan Bertanggungjawab.
Selain itu, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Sosial, Kelestarian Alam dan Biodiversiti dan Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Saarani berkata, antara tumpuan penting diberikan pada masa ini ialah untuk menjayakan lima nod pertumbuhan negeri yang disasarkan sebagai pemacu ekonomi Perak dalam dekad mendatang.
Lima nod pertumbuhan itu ialah Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di Manjung, Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) di Lekir dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Kerian.
Pada masa yang sama, katanya, Perak mahu terus menyinar dalam bidang perlombongan bertanggungjawab selain menggariskan misi penting untuk meneroka secara lebih meluas tiga cabang baharu iaitu Ekonomi Biru, Ekonomi Hijau dan Ekonomi Penjagaan.
“Sebab itu, kita mahu memperkasa sektor pendidikan terutamanya dalam bidang TVET, agar kita dapat menyiapkan anak-anak muda untuk menembusi pasaran kerja masa hadapan,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, beberapa indikator ekonomi menunjukkan Perak berjaya bangkit daripada kesuraman akibat pandemik Covid-19.
“Kita (Perak) pernah berada di ambang kemelesetan apabila merekodkan defisit mencecah RM70 juta, tetapi kita bangkit dengan surplus untuk tiga tahun berturut-turut, termasuklah RM64 juta pada tahun 2023, yang tertinggi dalam sejarah.
“Kadar pengangguran yang menurun serta kadar penyertaan tenaga buruh yang meningkat dalam tempoh tiga tahun. Dan momentum pertumbuhan ekonomi juga semakin baik. Ini memberi keyakinan untuk menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030,’’ katanya.-UTUSAN