Pemuzik LoQue atau MonoloQue tampil dengan berita menggembirakan apabila lagu Pujaan Hatiku bakal dilancarkan semula sebagai single dalam versi baharu yang lebih segar.
Tidak ramai mengetahui bahawa lagu ini sebenarnya pernah diperkenalkan sebagai runut bunyi filem Kami Histeria arahan Shamyl Othman sekitar 2013, yang ketika itu dibawakan oleh kumpulan Histeria. Lagu tersebut ditulis dan diterbitkan oleh LoQue sendiri sebelum disimpan sekian lama, menunggu masa yang sesuai untuk dihidupkan semula dalam versi MonoloQue.
Versi terbaharu ini tampil dengan pendekatan berbeza apabila disusun secara minimalis menggunakan gitar akustik, piano dan synthesizer tanpa penggunaan dram. Pendekatan ini memberi ruang kepada emosi lagu untuk lebih menonjol dalam suasana yang tenang dan mendalam.
“Untuk versi ini, saya sengaja kosongkan susunan muzik supaya lagu ini lebih bernafas dan terasa lebih jujur. Saya mahu pendengar benar-benar fokus pada emosi dan ruang yang ada dalam lagu ini,” katanya.

Dari segi mood, lagu ini membawa nuansa yang lebih gelap dan suram, namun masih diselitkan elemen romantik berinspirasikan era 80-an. Hasilnya, ia memberikan pengalaman mendengar yang berbeza daripada karya MonoloQue sebelum ini, dengan sentuhan yang lebih epik dan bersahaja.
Lirik Pujaan Hatiku juga kekal sebagai kekuatan utama dengan gaya penulisan yang sarat metafora dan terbuka kepada pelbagai tafsiran, bergantung kepada pengalaman dan emosi pendengar.
“Saya suka lirik yang tidak terlalu literal. Bagi saya, lagu yang baik patut boleh ditafsir dengan pelbagai cara, bukan hanya satu makna,” ujarnya.
Dalam versi ini, lagu tersebut disusun semula dengan pendekatan muzik rakyat yang lebih luas dari segi rasa, namun minimal dari segi bunyi, sekali gus memberikan identiti baharu yang berdiri sendiri tanpa menenggelamkan versi asal.
Pujaan Hatiku versi MonoloQue dijangka dilancarkan pada 17 April 2026 dan bakal tersedia di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.






