am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak, 42, menegaskan sebagai peneraju animasi tempatan, mereka menumpukan lebih banyak usaha pada kualiti penceritaan dan visual, selain merangka strategi untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Dengan reputasi selama lebih dua dekad dalam industri, Monsta kini mahu karya animasi tempatan bukan sahaja menarik di mata penonton tempatan, tetapi juga diterima di peringkat global.
Menurut Nizam, setiap karya animasi tidak boleh bergantung kepada satu bahasa sahaja, sebaliknya perlu diterjemahkan ke dalam bahasa utama dunia seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Sepanyol dan Bahasa Mandarin supaya animasi yang dihasilkan diterima di peringkat global.
“Memang fokus kita pada kualiti dari segi penceritaan dan visual, tetapi yang paling penting ialah strategi memastikan karya yang dihasilkan mempunyai banyak versi bahasa.
“Kualiti penceritaan juga perlu selari dengan cita rasa penonton global,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.
Nizam yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam industri animasi tempatan, mendedahkan pengalaman paling mencabar ketika membina semula syarikatnya serta memperkenalkan ‘intelectual property’ (IP) baharu, termasuk wujudnya watak terkenal iaitu ‘BoBoiBoy’, selepas beberapa tahun bersama syarikat awalnya.
“Bila perlu bermula semula dengan IP baharu, itu antara fasa paling mencabar. Namun, saya sentiasa beritahu rakan-rakan supaya teruskan usaha kerana saya percaya kami mampu menghasilkan karya seterusnya.
“Tapi saya rasa ini juga satu rezeki untuk kita menghasilkan animasi dengan cita rasa sendiri,” katanya.
Sementara itu, Nizam berkata, bekerja secara berpasukan memainkan peranan yang penting dalam membentuk kejayaan Monsta.
“Dalam Monsta, terdapat pelbagai jabatan yang terlibat seperti skrip, animasi, ‘modelling’, pencahayaan, dan penggabungan. Selain itu, kita juga ada jabatan produk, jabatan pemasaran, jabatan penjenamaan, malah jabatan yang menguruskan majlis.
“Peranan setiap jabatan sangat besar, tetapi ia mesti disokong hala tuju yang jelas daripada pihak pengurusan.
“Di Monsta, saya sangat gembira dengan semangat kerja berpasukan kerana setiap komponen memainkan tanggungjawab sendiri. Idea yang baik di atas kertas tidak cukup jika tiada yang merealisasikannya melalui produk atau pengalaman pengguna,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






