am@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah bersiap siaga menghadapi 3,683 kawasan titik panas banjir yang dikenal pasti menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada 6 November ini hingga 26 Mac tahun depan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, statistik terkini itu diperoleh berdasarkan sumber dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mana titik panas banjir ini membabitkan kawasan di seluruh negara terutamanya tiga kawasan tradisi banjir iaitu Pahang (760), Kelantan (618) dan Terengganu (460).
Menurutnya, selain negeri Pantai Timur, negeri lain yang mencatatkan jumlah ‘hot spot’ tertinggi ialah Sabah dengan 517 ‘hot spot’ diikuti Johor (343), Perak (280) dan Negeri Sembilan (123).
“Tahun ini, JBPM mengambil pendekatan sedikit berbeza dengan tahun-tahun lalu apabila kita mengeluarkan arahan bahawa semua pegawai kanan perlu turun untuk melihat sendiri permasalahan di lapangan jika ada untuk diatasi dalam kadar segera yang mungkin.
“Kita menjangkakan bahawa MTL akan masuk ataupun mula memasuki Malaysia sebelum pertengahan bulan November, jadi tumpuan persiapan JBPM ini akan menjurus kepada persiapan logistik sementara sampainya musim itu.
“JBPM juga memberi penekanan kepada anggota-anggota berdasarkan kepada ramalan Jabatan Metreologi bahawa berlaku sedikit atas purata kawasan-kawasan di Sabah, manakala di kawasan-kawasan lain memang musim banjir.
“Cuma kebimbangan kita adalah berlaku fenomena-fenomena sokongan lain yang akan menyebabkan banjir berlaku secara setempat ataupun bersifat mikro,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang sempena Hari Pengujian dan Pemeriksaan Logistik Operasi Banjir (MTL Log Day) di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah JBPM Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.
Nor Hisham berkata, pada ketika ini kekuatan anggota JBPM seramai 15,620 merangkumi 13,314 anggota sepenuh masa dengan 2,306 anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB) yang sememangnya bertugas di balai-balai bomba.
“Selain itu, kita ada ‘reserve’ kira-kira 2,000 anggota bekerja di pejabat, yang mana susunan dalam pengurusan insiden. Apabila berlaku saja banjir dan melebihi tahap biasa bukan banjir normal yang bertugas di pejabat juga akan turun di lapangan khususnya untuk membantu dan juga mengukuhkan pasukan.
“Buat masa ni, kita tidak keluarkan lagi pembekuan cuti, tetapi kita lebih kepada mengehadkan cuti anggota kepada 20 peratus (dibenarkan cuti). Pada masa sama kita sedang menunggu arahan rasmi, selepas itu baru pemakluman dibuat (kepada semua anggota)” katanya.
Dari segi jumlah aset yang akan digerakkan pula katanya, pihak JBPM sudah melaksanakan pemeriksaan menyeluruh kepada aset-aset persiapan bagi menghadapi MTL membabitkan 983 aset darat dan marin.
“Di seluruh negara, saya boleh katakan aset marin saja sebanyak 450 unit membabitkan pelbagai bot serta helikopter. Bagi aset darat pula antaranya kenderaan angkut berat, kenderaan penarik pacuan empat roda dan sebagainnya.
“Pemeriksaan sudah selesai dibuat bagi melihat kesediaan aset ini di 343 buah BBP di seluruh negara. Sasaran kita setiap BBP sekurang-kurangnya ada sebuah bot dan BBP tumpuan mesti ada dua buah bot,” katanya.
Sementara itu, katanya, JBPM turut memberikan tumpuan terhadap kawasan bandar berkepadatan penduduk yang tinggi memandangkan operasi di kawasan berkenaan mempunyai cabaran tersendiri.
“Disebabkan jumlah penduduk yang tinggi dan susun atur rumah yang seragam, cabaran banjir di kawasan bandar menjadi lebih ketara. Apabila air naik, ia lebih cepat memenuhi kawasan kediaman dan menyukarkan operasi menyelamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






