Atlanta: Jurulatih Monterrey, Domenec Torren memberi amaran setiap pemainnya perlu bertahan dengan disiplin tinggi jika kelab Mexico itu mahu mengintai sebarang peluang untuk menewaskan Borussia Dortmund dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab, esok.
Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, satu-satunya pemain di dunia yang boleh terlepas daripada tugas bertahan ialah bekas bintang Barcelona, Lionel Messi yang mana pasukannya, Inter Miami tersingkir selepas tewas kepada Paris Saint-Germain, semalam.
Monterrey mencipta kejutan selepas seri 1-1 menentang naib juara Liga Juara-Juara, Inter Milan dalam peringkat kumpulan tetapi untuk mara ke suku akhir mereka perlu mencatat kemenangan pertama dalam sejarah kelab Mexico ke atas kelab Eropah dalam kejohanan ini.
“Kami perlu bermain sebagai satu pasukan, dan maksud saya ialah soal bertahan. Semua orang mesti bertahan. Jika anda tidak bertahan, anda akan duduk di bangku simpanan. Jika anda tak ikut peraturan, anda menyusahkan pasukan,” kata Torrent dalam sidang media di Atlanta, awal pagi tadi.
“Kami bermain sangat baik menentang Inter Milan. Kami rebut setiap bola, kami berjuang dan bertahan. Walaupun pemain paling berbakat kami yang biasanya kurang bertahan, mereka bertahan dengan sangat baik.
“Hanya satu atau dua pemain di dunia yang boleh membuat perbezaan dan salah satunya ialah Lionel Messi, pemain terbaik dalam sejarah. Dia satu-satunya yang boleh ubah permainan tanpa bantuan rakan sepasukan, tanpa bertahan.
“Dia terlalu hebat, dia boleh mengubah keseimbangan permainan. Tapi semua pemain lain di dunia perlu turun membantu bertahan, kalau tidak, anda tak boleh bersaing dengan pasukan-pasukan ini.”
Torrent mengakui jurang kualiti antara kelab Eropah dan selebihnya semakin kecil, namun masih wujud, walaupun kejutan tetap boleh berlaku.
“Menentang pasukan elit Eropah memang ada jurang yang ketara, itulah hakikatnya,” jelasnya.
“Kami ada pelan A, pelan B dan pelan C. Sebagai jurulatih, itulah yang anda perlukan kerana terlalu banyak perkara boleh berlaku dalam satu perlawanan bola sepak.”
Monterrey memiliki pemain berpengalaman dalam pertahanan, iaitu bekas tonggak Real Madrid, Sergio Ramos, yang kini berusia 39 tahun dan memakai lilitan kapten untuk mengetuai barisan pertahanan.
Di bahagian serangan, mereka diperkuat bekas pemain sayap Sevilla, Lucas Ocampos, dan penyerang German Berterame, yang menjaringkan dua gol menentang Urawa Red Diamonds dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk membantu pasukan mara selaku naib juara kumpulan, sekali gus menyingkirkan gergasi Argentina, River Plate.
Legenda Juventus, Alessandro Del Piero, turut meramalkan Monterrey akan mara berbanding Dortmund dalam ramalan pusingan 16 terbaiknya.
“Dia seorang legenda bola sepak dunia, tokoh yang dihormati. Kami berterima kasih kepadanya, tetapi kami tidak ambil serius. Kami tahu siapa diri kami dan siapa pilihan utama di atas kertas,” kata Torrent.
“Saya harap pemain saya tidak dengar (ramalan itu), kerana saya mahu mereka faham bahawa kami mesti berjuang untuk setiap bola, setiap detik dan hanya dengan cara ini kami boleh bersaing.”
Berterame pula berkata pasukan banyak berkembang dari segi mentaliti di bawah Torrent, yang pernah menjadi pembantu Pep Guardiola di Barcelona, Bayern Munich dan Manchester City sebelum memulakan karier sebagai ketua jurulatih.
“Dari segi mentaliti dan pencapaian, kami kini berada di tahap yang lebih tinggi,” jelas penyerang itu.
“Kami perlu terus bermain seperti ketika menentang Inter atau River dan mengekalkan intensiti serta disiplin yang sama.”
© New Straits Times Press (M) Bhd