Moto3: Hannah ‘cabar’ Hakim Danish gegar GP Malaysia 2025

Moto3: Hannah ‘cabar’ Hakim Danish gegar GP Malaysia 2025


PENAMPILAN sulung pelumba muda berbakat negara, Muhammad Hakim Danish Ramli dalam saingan Moto3 pada Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini bukan sahaja dinanti peminat sukan permotoran tanah air malah mengujakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hannah berkata, beliau bukan sahaja mahu menyaksikan aksi tunggangan Hakim Danish, tetapi berharap pelumba berasal dari Terengganu itu mampu menggegarkan SIC dengan meraih kejuaraan Moto3 GP Malaysia 2025 yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar memberikan sokongan penuh kepada pelumba berusia 18 tahun itu yang akan beraksi atas tiket wildcard dengan segera mendapatkan tiket yang masih dijual.

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia supaya membeli tiket dan hadir memberi sokongan kepada MotoGP. Selalunya ramai mahu kami bawa acara bertaraf antarabangsa ke sini, tetapi apabila dianjurkan, sambutannya kurang menggalakkan.

“Jadi, kali ini marilah kita turun beramai-ramai menyokong Hakim Danish, bukan selalu kita berpeluang melihat pelumba tempatan beraksi di pentas dunia,” katanya pada sidang media pelancaran pasukan dan jentera AEON Credit SIC Racing MSI yang diwakili Hakim Danish di sini pada Rabu.

Mentor kepada Hakim Danish, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, masih memegang rekod sebagai pelumba negara terbaik dalam sejarah Moto3 di SIC apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada musim 2012.

Hannah berkata, penyertaan Hakim Danish mencerminkan keyakinan Malaysia terhadap potensi besar yang boleh dicapai apabila kerajaan, sektor swasta dan komuniti sukan permotoran berganding bahu.

“Sokongan AEON Credit adalah contoh terbaik bagaimana sektor korporat mampu memberi impak besar, bukan sahaja membantu pelumba seperti Hakim Danish melangkah lebih jauh, malah memberi inspirasi kepada belia bahawa impian besar boleh direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi AEON Credit, Ng Eng Kiat berkata, pihaknya berbangga menyalurkan sumbangan RM1 juta bagi menyokong penampilan sulung Hakim Danish dalam kelas Moto3.

Beliau berkata, sumbangan itu turut menandakan langkah pertama AEON Credit menceburi dunia sukan permotoran, sekali gus memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat terhadap pembangunan belia, komuniti dan bakat tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif pula berkata, penyertaan Hakim Danish di GP Malaysia 2025 bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi juga hasil kerjasama seluruh pasukan teknikal, mekanik serta rakan kongsi seperti AEON Credit yang percaya kepada program pembangunan bakat SIC. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Penampilan sulung Muhammad Hakim Danish Ramli dalam Moto3 GP Malaysia 2025 dinanti peminat dan Menteri Belia dan Sukan
  • Hannah Yeoh berharap Hakim Danish mampu menjuarai Moto3 GP Malaysia
  • Rakyat Malaysia diseru memberi sokongan penuh kepada Hakim Danish yang bertanding dengan tiket wildcard
  • AEON Credit menyumbang RM1 juta bagi menyokong penampilan Hakim Danish dalam Moto3
  • Penyertaan Hakim Danish di GP Malaysia 2025 mencerminkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti sukan permotoran



Source link

OR

Scroll to Top