MotoGP: Martin mungkin tersisih hingga pusingan kelima

MotoGP: Martin mungkin tersisih hingga pusingan kelima


JUARA MotoGP, Jorge Martin mungkin tersisih sehingga pusingan kelima kejuaraan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan selepas pembedahan, kata pelumba Aprilia itu pada Jumaat.

Martin sebelum ini mengalami kemalangan semasa sesi ujian pramusim di Sepang yang menyebabkan patah tangan dan kaki, serta menjalani pembedahan yang mengakibatkannya terlepas perlumbaan pembukaan di Thailand.

Pelumba berusia 27 tahun itu akan menyaksikan Grand Prix (GP) hujung minggu ini di Argentina serta GP Amerika di Austin pada hujung bulan ini dari tepi litar, sementara ketua pasukan Aprilia, Massimo Rivola, menunggu kepulangan bintang baharu pasukan itu.

“Saya benar-benar menderita, ini bukan masa saya. Saya bergelut untuk pulih secepat yang saya mahukan. Saya juga boleh katakan bahawa saya tidak akan berada di Austin. Saya ingin berada di sana tetapi saya tidak akan berlumba. Saya tidak tahu sama ada saya boleh berlumba di Qatar.

“Ini masih terlalu awal. Sudah tentu saya ingin melakukan ujian sebelum kembali berlumba kerana saya tidak berasa begitu baik. Saya tahu Massimo juga sedang berusaha untuk itu, jadi mari kita lihat jika kita boleh merealisasikannya,” kata Martin melalui pautan video pada sidang media pelumba menjelang GP Argentina.

GP Amerika akan diadakan dari 28 hingga 31 Mac, manakala pusingan keempat di Qatar berlangsung dari 11 hingga 13 April.

Martin mungkin kembali untuk GP di tempat asalnya di Sepanyol pada akhir April.

Beliau bertukar daripada Pramac Racing ke Aprilia sebelum musim 2025 tetapi hanya sempat melakukan 13 pusingan dalam ujian sebelum kemalangan.

Ketiadaan Martin menyaksikan juara MotoGP enam kali, Marc Marquez, mendahului kedudukan selepas prestasi cemerlangnya meraih petak utama, kemudian memenangi perlumbaan pecut dan GP di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, pada 7 Mac lalu.

MOTOGP 2025

KEDUDUKAN

1. Marc Marquez (Sepanyol)

Ducati Lenovo (37 mata)

2. Alex Marquez (Sepanyol)

Gresini Ducati (29 mata)

3. Francesco Bagnaia (Itali)

Ducati Lenovo (23 mata)

4. Franco Morbidelli (Itali)

Pertamina VR46 Ducati (18 mata)

5. Ai Ogura (Jepun)

Trackhouse Aprilia (17 mata)

6. Marco Bezzecchi (Itali)

Aprilia Racing (10 mata)

7. Brad Binder (Afrika Selatan)

Red Bull KTM (10 mata)

8. Johann Zarco (Perancis)

Castrol Honda LCR (9 mata)

9. Enea Bastianini (Itali)

Red Bull KTM Tech3 (7 mata)

10. Fabio Di Giannantonio (Itali)

Pertamina VR46 Ducati (6 mata)

* Kedudukan 10 teratas selepas GP Thailand



Source link

OR

Scroll to Top