MALAYSIA berdepan risiko besar sekiranya melepaskan hak penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), yang kini menjadi tunjang utama Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan bahawa pengalaman menghentikan Formula Satu (F1) lapan tahun lalu wajar dijadikan pengajaran.
Pekan malah menekankan MotoGP bukan sekadar perlumbaan, tetapi simbol penting imej antarabangsa dan daya tarikan utama Sepang.
“Jika Malaysia tidak lagi menganjurkan MotoGP, ia akan memberi kesan besar kepada imej dan fungsi Litar Sepang kerana perlumbaan ini sudah sinonim dengan litar tersebut sejak berpindah dari Batu Tiga, Shah Alam.
“Hanya MotoGP yang benar-benar memberi imej antarabangsa kepada Malaysia. Perlumbaan lain tidak konsisten untuk mengangkat nama Sepang di peta dunia,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, kini giat mengadakan rundingan bagi menyambung kontrak penganjuran MotoGP dengan pemegang hak komersial, Dorna Sports, memandangkan perjanjian sedia ada dijangka tamat tahun depan.
Menurut Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), sukan permotoran tidak boleh dipisahkan daripada rakyat Malaysia kerana negara ini berada di tangga keempat dunia dalam penggunaan motosikal dengan lebih 80 peratus isi rumah memiliki kenderaan itu.
“Data ini membuktikan kenapa MotoGP mendapat sokongan padu peminat tempatan. Kos besar yang dibelanjakan tidak boleh dinilai hanya dari sudut ekonomi, sebaliknya perlu dilihat kepada impak menyeluruh termasuk industri motosikal, pembangunan pelumba dan pelancongan sukan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan penganjuran MotoGP mampu menarik ribuan peminat dari seluruh dunia sekali gus memberi limpahan kepada sektor perhotelan, makanan, pengangkutan, cenderahati serta perniagaan tempatan.
“MotoGP di Sepang turut dikenali sebagai perlumbaan paling panas dalam kalendar kerana faktor cuaca tropika. Negara lain berebut-rebut untuk menganjurkannya, jadi kalau kita lepaskan kali ini, peluang untuk dapat semula hampir mustahil,” katanya.
Sebagai rekod, kontrak sedia ada MotoGP Malaysia akan tamat tahun depan, manakala edisi 2025 dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober depan di SIC.