September 8, 2024

MP UMNO ramai tiada kerana ada sesi penerangan penjualan saham MAHB – Ahmad Fahysal

MP UMNO ramai tiada kerana ada sesi penerangan penjualan saham MAHB – Ahmad Fahysal


KUALA LUMPUR – Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mendakwa semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sedang menghadiri sesi penerangan mengenai penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Jelasnya, sesi penerangan itu dibuat kepada ahli Parlimen UMNO oleh dua entiti yang menguasai MAHB.

“Sebab itu hari ini berapa kerat ahli Parlimen UMNO yang undi tadi, ada hanya Ahli Parlimen Paya Besar, Tampin sahaja.

“Saya difahamkan hari ini UMNO buat penerangan khas kepada Ahli Parlimen UMNO di WTC (Pusat Dagangan Dunia) oleh Khazanah dan KWSP.

“Kenapa lambat sangat, takut sungguh dengan UMNO?” soalnya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 untuk membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Rang Undang-undang Mavcom (Pembubaran) 2024 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah pada Isnin lalu diluluskan melalui undi suara majoriti selepas perbahasan hangat.

Sebelum ini, cubaan Perikatan Nasional (PN) untuk menggagalkan perbentangan RUU berkenaan tidak kesampaian apabila bacaan kali kedua diluluskan.

Sejumlah 97 ahli Parlimen bersetuju dengan perbentangan RUU berkenaan sementara 63 menentang.

Sejumlah 66 ahli Parlimen pula tidak mengundi kerana tidak hadir ke Dewan Rakyat.

Pada 15 Mei lalu, Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki konsortium pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top