KUALA LUMPUR: Ketua Kreatif Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB), Mohamad Rizal Mohamed Nor dipilih pemenang pingat emas kategori Reka Letak Halaman Terbaik sempena Malam Wartawan Malaysia 2025 di sini malam ini.
Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024 itu membolehkan Mohamad Rizal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Penolong Ketua Kreatif Utusan Malaysia, Mohamad Sany Misnan pula memenangi pingat gangsa bagi Kategori Infografik Terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000.
Mohamad Rizal menang berdasarkan reka letak mengenai isu pencemaran plastik yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia.
Mohamad Sany pula dipilih berdasarkan grafik Menara Condong Teluk Intan yang berusia 139 tahun yang disiarkan dalam akhbar sama.
Sementara itu, Hadiah Kajai pula dimenangi oleh wartawan Harian Metro berdasarkan laporan akhbar tersebut mengenai jenayah terancang kumpulan GISBH hingga membawa pembubaran kumpulan syarikat itu serta pemimpinnya didakwa.
Hadiah berprestij itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.
Malam Wartawan Malaysia 2025 itu turut memilih bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Allahyarham Rozaid Abdul Rahman yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia sebagai penerima Anugerah Khas.
Tokoh Wartawan Negara pula dimenangi oleh Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai yang juga bekas Ketua Pengarang The Star.
Tiga hadiah utama itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pemilihan pemenang mengambilkira penglibatan dan sumbangan mereka dalam bidang kewartawanan.-UTUSAN