suliati@hmetro.com.my
Kolaborasi erat antara universiti dan pihak industri usaha serta langkah tepat dalam membentuk graduan yang benar-benar bersedia menempuh dunia pekerjaan yang mencabar dan relevan dengan keperluan industri.
Di negara maju seperti Jerman, model universiti-industri sudah lama terbukti berjaya dengan syarikat gergasi bukan sahaja menyalur kepakaran, malah menyediakan geran penyelidikan bernilai besar untuk kesinambungan inovasi.
Hasilnya, graduan mereka lahir dengan kelebihan kompetensi dan pengalaman praktikal sukar ditandingi. Di Malaysia, pendekatan sama semakin diberi perhatian.
Selain sokongan berbentuk seminar, geran penyelidikan, penempatan latihan industri dan pembangunan kurikulum, universiti kini melangkah setapak ke hadapan dengan penubuhan Makmal Pengajaran Industri (MPI) iaitu inisiatif yang membawa terus kepakaran, teknologi dan prasarana industri ke dalam kampus.
Kolaborasi bersifat simbiotik ini sekali gus mampu meningkatkan kompetensi tenaga pakar negara dan pada masa yang sama meningkatkan penarafan bagi sesebuah universiti.
Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata, MPI bukti kolaborasi hebat dan utuh antara universiti dan industri dengan membawa masuk kepakaran, peralatan, kemudahan dan lain-lain dari industri ke universiti.
Katanya, secara tidak langsung memberi manfaat kepada semua khususnya dalam membentuk graduan yang holistik, kompeten dan memenuhi kehendak pihak industri.
“Di UKM sendiri, kolaborasi ini simbol kepercayaan pihak industri terhadap pengurusan akademik dalam melahirkan graduan kompeten dan kompetitif mengikut acuan industri.
“Justeru, FKAB menyasarkan sekurang-kurangnya mempunyai 10 MPI dalam tempoh beberapa tahun ini, di mana rundingan demi rundingan sudah berlangsung untuk merealisasikannya,” katanya.
Sehingga kini FKAB mempunyai sembilan makmal pengajaran industri yang disumbangkan syarikat tempatan dan luar negara.
Dr Mohd Syuhaimi berkata, dalam menggerakkan inisiatif pemerkasaan kemahiran pelajar seiring keperluan masa hadapan dan kehendak pemegang taruh, pembabitan pihak industri amat diperlukan.
“Bagi UKM, kejayaan mewujudkan MPI menandakan satu transformasi dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Dari sekadar menghasilkan graduan berpengetahuan kepada melahirkan tenaga kerja masa depan yang benar-benar kalis masa depan.
“Kami percaya gabungan kepakaran, prasarana lengkap serta suasana kondusif menjadi pemangkin kepada keberhasilan berimpak dan graduan tinggi kebolehpasarannya.
“Makmal ini sering menganjurkan latihan dan bengkel kepada pihak luar untuk tujuan penjanaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd