MPM bakal ambil tindakan tegas terhadap seorang atlet para negara

MPM bakal ambil tindakan tegas terhadap seorang atlet para negara


KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bakal mengambil tindakan tegas kepada seorang atlet para negara yang baru-baru ini mendakwa organisasi itu sebagai ‘penipu’ selepas masih belum melunaskan janji berhubung ganjaran kejayaan Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang kepada atlet berkenaan kerana dakwaan itu telah mencemar reputasi pihaknya selain penaja mereka.

“Saya rasa ini (dakwaan MPM ‘penipu’) satu tindakan yang memfitnah atau tidak bertanggungjawab… saya percaya tindakan sebegini juga boleh mengundang pihak penaja atau syarikat itu mengambil nasihat undang-undang untuk melindungi kredibiliti mereka dan juga untuk MPM.

“Kami sedang berbincang dengan pihak peguam untuk tengok tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Selain itu, Megat D Shahriman yang amat kecewa dengan dakwaan itu berkata, MPM tidak akan teragak-agak menggantung atlet berkenaan daripada menyertai mana-mana temasya sukan selepas ini.

Menerusi hantaran di media sosial minggu lepas, seorang atlet para negara meluahkan kekecewaan terhadap MPM yang didakwa masih belum melunaskan janji untuk memberikan habuan RM60,000 susulan kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik 2024.

Menurut laporan media, Megat D Shahriman pada tahun lepas memaklumkan ganjaran wang tunai berjumlah RM60,000 seorang menanti atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas pada temasya berprestij itu.

Habuan itu adalah insentif diberikan oleh tiga syarikat luar bagi meningkatkan motivasi atlet negara memburu emas di Paris.

Pada masa sama, beliau berkata MPM juga akan mengambil tindakan kepada beberapa atlet para yang turut berkongsi hantaran dilakukan atlet berkenaan.

Menurutnya, pihak penaja (Zero Healthcare) telah memberikan ganjaran kerusi urut bernilai lebih RM30,000 kepada 30 atlet terlibat selain insentif tambahan RM10,000 seorang kepada dua pemenang emas, RM5,000 seorang kepada dua pemenang perak dan RM3,000 kepada pemenang gangsa sebelum ini.

Katanya, terdapat satu lagi penaja berpangkalan di luar negara yang memberikan insentif RM88,000 iaitu dua pemenang emas yang masing-masing menerima RM25,000, RM15,000 seorang kepada dua pemenang perak dan RM8,000 kepada pemenang gangsa.

Malaysia menamatkan kempen Sukan Paralimpik 2024 dengan membawa pulang dua emas menerusi jaguh badminton para Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), dua pingat perak oleh atlet olahraga Muhammad Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romly serta seorang pemenang gangsa iaitu Eddy Bernard juga sukan olahraga. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • MPM bakal ambil tindakan tegas terhadap atlet yang mendakwa organisasi itu sebagai ‘penipu’
  • MPM berancang mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan yg mencemar reputasi mereka
  • MPM pertimbangkan menggantung atlet terbabit daripada menyertai mana-mana temasya sukan akan datang
  • Seorang atlet para kecewa kerana MPM belum tunaikan janji berikan habuan RM60,000 atas kejayaan memenangi pingat emas
  • MPM juga akan mengambil tindakan terhadap atlet lain yang berkongsi hantaran berkaitan dakwaan tersebut



Source link

OR

Scroll to Top