MPM optimis lahirkan atlet pelapis para berkualiti

MPM optimis lahirkan atlet pelapis para berkualiti


MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) optimis untuk melahirkan generasi baharu atlet para negara yang mampu menggalas cabaran di pentas antarabangsa, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap jaguh-jaguh sedia ada.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, MPM dalam proses merangka formula hibrid yang akan menjadi strategi utama dalam pembangunan atlet pelapis menuju Sukan Para ASEAN (APG) 2027 dan Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Malah katanya, sebagai permulaan MPM bakal mempertaruhkan lebih ramai muka baharu untuk mengalas cabaran negara pada APG 2025 di Thailand awal tahun depan.

Tambahnya, perancangan rapi giat dijalankan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan peralihan generasi atlet berjalan lancar dan berkesan.

“Insya-ALLAH, pertengahan bulan ini kami akan mengadakan mesyuarat bersama MSN untuk memuktamadkan persediaan ke Sukan Para Remaja Asia (AYPG) di Dubai dan Sukan Para Asia di Korat, Thailand.

“Persiapan untuk APG telah dijalankan dan persatuan sukan para kebangsaan juga sudah bersedia. Kami juga giat meneliti barisan atlet dan pasukan terbaik untuk diketengahkan.

“Insya-ALLAH, inilah bakal menjadi wajah masa depan untuk APG 2027 dan LA28,” katanya kepada media selepas majlis penutup Bengkel Fasa 2 Memperkasakan Persatuan Sukan Para Kebangsaan yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN, Arrifin Mohd Ghani di Kuala Lumpur pada Ahad.

APG 2025 yang mempertaruhkan 19 jenis sukan itu dijadual berlangsung di Nakhon Ratchasima bermula dari 20 hingga 26 Januari depan.

Megat menjelaskan bahawa formula hibrid melibatkan gabungan strategik antara atlet senior dan bakat-bakat baharu yang akan diketengahkan menerusi program pembangunan yang lebih agresif.

“Persediaan itu sudah ada. Kita mahu pastikan pasukan dan atlet yang menang akan dihantar, tetapi lebih penting, kita mahu melihat pertumbuhan dan merapatkan jurang dengan memperkenalkan atlet-atlet baharu.

“Ia akan menjadi satu formula campuran hibrid yang akan menjadi masa depan kita untuk sasaran LA28 dan APG 2027 apabila Malaysia menjadi tuan rumah,” jelasnya.

Beliau menambah, sumber utama bagi bakat-bakat baharu ini dikenal pasti melalui temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, di mana senarai panjang kira-kira 150 atlet telah dikenal pasti untuk disaring menjadi sekitar 20 hingga 30 atlet yang akan diberi pendedahan di peringkat lebih tinggi.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk membina ‘bank bakat’ masa depan negara. Mereka yang terpilih akan diserapkan ke dalam program pembangunan khas, termasuk Program Podium dan program di luar kendalian persatuan,” ujar Megat lagi.

 



Source link

OR

Scroll to Top