Geneva: Mpox bukanlah satu lagi Covid-19, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa, kerana banyak yang sudah diketahui mengenai virus itu dan cara untuk mengawalnya.
Walaupun lebih banyak penyelidikan diperlukan mengenai strain Clade 1b yang agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengisytiharkannya sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa, penularan mpox boleh dikekang, kata Pengarah Eropah WHO, Hans Kluge.
“Mpox bukan Covid baharu.
“Kami tahu bagaimana untuk mengawal mpox. Dan, di rantau Eropah, langkah yang diperlukan untuk menghapuskan penularannya,” katanya pada taklimat media di Geneva, melalui pautan video.
Pada Julai 2022, WHO mengisytiharkan kecemasan berhubung wabak antarabangsa bagi jenis mpox Clade 2b kurang teruk, yang kebanyakannya menjejaskan lelaki melakukan hubungan sejenis.
Kecemasan itu bagaimanapun ditarik balik pada Mei tahun lalu.
“Kami mengawal mpox di Eropah hasil pembabitan langsung dengan komuniti yang paling terjejas.
“Pengawasan yang teguh, menyiasat hubungan kes, perubahan tingkah laku dalam komuniti terjejas dan vaksinasi semuanya menyumbang kepada mengawal wabak itu,” kata Kluge.
Menurut Kluge, risiko kepada penduduk umum adalah rendah.
“Adakah kita akan berkurung di rantau WHO Eropah, (seolah-olah) ia adalah satu lagi Covid-19? Jawapannya jelas ‘tidak’,” katanya.
Clade 1b merebak terutamanya melalui penularan seksual dalam kalangan orang dewasa.
Kluge berkata, ada kemungkinan juga seseorang dalam fasa akut jangkitan mpox, terutamanya dengan lepuh di dalam mulut, boleh menularkan virus kepada kenalan rapat melalui titisan, dalam keadaan seperti di rumah atau di hospital.
“Cara ia merebak masih agak tidak jelas. Lebih banyak penyelidikan diperlukan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap WHO, Tarik Jasarevic berkata, agensi itu tidak mengesyorkan penggunaan pelitup muka.
“Kami tidak mengesyorkan vaksinasi besar-besaran. Kami mengesyorkan untuk menggunakan vaksin dalam tetapan wabak untuk kumpulan yang paling berisiko,” katanya.
WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa pada 14 Ogos, bimbang dengan peningkatan kes Clade strain 1b di Congo dan penyebarannya ke negara berdekatan.
Terdapat dua subjenis mpox: Clade 1 yang lebih ganas dan berbahaya, endemik di Lembangan Congo di Afrika tengah; dan Clade 2, endemik di Afrika Barat.
© New Straits Times Press (M) Bhd