PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) akan memanfaatkan sebaik mungkin peruntukan yang diberikan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Presidennya, Ong Shin Ruenn berkata, bajet tersebut akan digunakan untuk mempersiapkan para atlet bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik untuk orang pekak, Deaflympics di Tokyo pada November tahun depan.
Beliau berkata, bagi menghargai sumbangan tersebut kontinjen negara menjanjikan aksi terbaik dan optimis untuk membawa pulang pingat emas buat Malaysia.
“MSDEAF berterima kasih atas Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh perdana menteri. Penghargaan juga buat Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) serta Kementerian Belia dan Sukan.
“Perdana menteri juga telah menyebut secara langsung mengenai sukan Olimpik untuk orang pekak itu. Daripada keseluruhan bajet RM230 juta dikhaskan untuk pembangunan atlet, NGO (Badan Bukan Kerajaan), atlet para dan Deaflympics Tokyo 2025, MSDEAF menjangka akan perolehi RM3 juta
“MSDEAF akan menggunakan peruntukan ini untuk membuat persiapan bagi menghantar kontinjen orang pekak ke Tokyo. Ia melibatkan kos penghantaran, elaun jurulatih, elaun atlet dan kos melibatkan penyewaan padang untuk latihan serta kos yang berkaitan untuk temasya di Tokyo itu,” katanya.
Beliau menjelaskan, MSDEAF sudah mempersiapkan para atlet sejak awal tahun ini menerusi latihan yang bersistematik sebagai persediaan untuk Tokyo akhir tahun depan.
“Peruntukan RM3 juta itu merupakan jumlah yang besar dan sekali lagi MSDEAF berterima kasih pada kerajaan Madani yang sangat prihatin dengan keperluan MSDEAF,” katanya.
Menurut Shin Ruenn, selain Deaflympics, MSDEAF juga akan menyertai Sukan SEA Orang Pekak di Jakarta pada Jun 2025 selain penganjuran Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) di Kuching, Sarawak pada Julai.
“Dua temasya ini tidak melibatkan bajet RM3 juta itu, sebaliknya MSDEAF akan cuba berusaha untuk mendapat dana kerana ia melibatkan peruntukan RM2 juta,” katanya.