MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan mempertimbangkan pemberian insentif khas buat skuad boling negara yang merangkul dua pingat emas pada Piala Dunia di Hong Kong baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, biarpun kejohanan tersebut tidak tersenarai dalam cadangan insentif oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), namun pertimbangan sewajarnya perlu diberikan.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan sesuatu yang membanggakan kerana ia melibatkan pingat emas yang dimenangi Natasha Mohamed Roslan dalam acara individu wanita serta pasukan lelaki.
“Setiap persatuan sukan biasanya mengemukakan senarai kejohanan utama kepada MSN untuk pemberian insentif.
“Namun, apabila ada kejohanan tambahan yang tidak disenaraikan, MSN perlu menilai semula dan ia tertakluk kepada kemampuan bajet,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Liga Super Bola Jaring (NSL) di Petaling Jaya pada Selasa.
Pasukan lelaki terdiri daripada Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Rafiq Ismail dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam.
Sebagai rekod keputusan sama turut dilakukan MSN di atas pencapaian skuad sepak takraw negara yang memenangi dua pingat emas pada Piala Dunia Istaf tahun lalu.
Meskipun kejohanan tersebut tiada dalam senarai insentif Shakam, regu dan doubles emas negara tetap menerima insentif khas selepas kejayaan berkenaan dipertimbangkan semula atas budi bicara menteri.
Hannah menjelaskan bahawa perbincangan sedang berjalan bagi memastikan Natasha dan pasukan boling lelaki menerima penghargaan sewajarnya.
“Bagi Natasha dan boling lelaki, MSN sedang menilai. Sama seperti skuad sepak takraw lelaki sebelum ini,” katanya.
Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok sebelum ini memaklumkan bahawa Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) hanya diperuntukkan kepada kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia seperti yang dipersetujui dalam cadangan kepada MSN.