MSN sahkan sukan mendaki terima sokongan meski kategori B

MSN sahkan sukan mendaki terima sokongan meski kategori B


PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan bahawa atlet sukan mendaki tidak menerima sokongan untuk menyertai Sukan SEA 2025, sambil menjelaskan pemilihan atlet ditentukan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pemilihan Atlet Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Mesyuarat pemilihan pada 12 Ogos lalu menetapkan syarat kategori A dan B, dengan kategori A ditanggung sepenuhnya MOM dan MSN, manakala atlet kategori B perlu dibiayai oleh persatuan sukan masing-masing sebelum bayaran balik dibuat jika mereka memenangi pingat.

“MSN memaklumkan semua persatuan, termasuk Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM), telah bersetuju dengan syarat pembiayaan tersebut, dan sukan mendaki ditempatkan dalam Kategori B kerana tiada atlet berada dalam tiga ranking terbaik Asia Tenggara,” kata MSN.

Terdahulu, atlet panjat dinding (wall climbing) negara, Mohd Izzat Shokor berkata persiapannya bersama rakan sepasukan menyertai Sukan SEA Thailand berada di tahap kritikal berikutan berdepan masalah kewangan.

Dalam pada itu, MSN turut berkata, kesemua persatuan yang menghantar permohonan kategori B telah pun menyatakan persetujuan dan komitmen untuk menanggung kos penyertaan atlet mereka.

“Bagi sukan mendaki, MSN menjelaskan tiada atlet sukan itu berada dalam ranking tiga terbaik Asia Tenggara, menyebabkan penyertaan mereka diluluskan di bawah Kategori B. PMM juga telah bersetuju dengan syarat pembiayaan yang ditetapkan,” katanya.

MSN turut memaklumkan sukan mendaki telah dikenal pasti untuk dimasukkan dalam Program Khas LA 2028, sekali gus meluluskan peruntukan RM200,000 kepada PMM bagi tujuan latihan dan penyertaan kejohanan bagi meningkatkan ranking dunia atlet sepanjang tahun ini.

“Peruntukan tersebut turut boleh digunakan bagi persediaan atlet menuju Sukan SEA 2025,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top