MSN sudah lulus RM334,020 untuk skuad ragbi s7 wanita

MSN sudah lulus RM334,020 untuk skuad ragbi s7 wanita


Laporan Sukan Sinar pada Khamis mengenai persiapan Bunga Raya 7s wanita ke Sukan SEA 2025 suram.

MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM334,020 kepada pasukan ragbi tujuh sebelah (S7) wanita sebagai persiapan ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini.

Peruntukan berkenaan terdiri daripada pakej latihan pusat di Kelab Cobra Petaling Jaya secara sepenuh masa, elaun atlet dan jurulatih, pembelian peralatan serta penyertaan ke kejohanan luar negara.

Sehubungan itu, MSN menegaskan bahawa dakwaan peruntukan yang disalurkan kepada pasukan tersebut tidak mencukupi adalah tidak wajar.

“Jumlah peruntukan yang disediakan adalah sejajar dengan penilaian prestasi semasa sukan tersebut.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak persatuan pada 23 Mei lalu,” kata MSN menerusi satu kenyataan.

Sukan Sinar sebelum ini menyiarkan keluhan pengurus skuad Bunga Raya 7s wanita, Tan Thiam Jin yang mendakwa persiapan ke Sukan SEA suram kerana kekangan bajet.

Ia susulan dana diluluskan MSN hanya meliputi latihan secara berfasa selama 14 hari serta satu perlawanan sepanjang tempoh sembilan bulan.

Dalam pada itu, MSN turut memaklumkan bahawa pihaknya giat menguruskan program penyediaan atlet ke Sukan SEA Thailand melibatkan 40 jenis sukan yang berlatih secara sepenuh masa dan berfasa.

“Oleh itu sudah semestinya MSN akan memberi tumpuan yang lebih kepada sukan-sukan yang disandarkan untuk memenangi pingat terutama pingat emas pada temasya Sukan SEA 2025 nanti,” katanya.

MSN turut mengingatkan bahawa persatuan sukan kebangsaan juga menggalas tanggungjawab untuk mencari dana tambahan sekiranya terdapat kos lain diperlukan.

“Menjadi tanggungjawab Persatuan Sukan Kebangsaan untuk berusaha mencari dana tambahan jika terdapat kos-kos lain tanpa perlu menuding jari kepada MSN,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top