MTD menamatkan kemarau kejuaraan apabila menjulang trofi Kejohanan Bolasepak MSSD Zon Bangsar 2025.
PENANTIAN hampir tiga dekad akhirnya terlerai apabila pasukan bola sepak Bawah 18 tahun Maktab Tentera Diraja (MTD) menamatkan kemarau kejuaraan dengan menjulang trofi Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Zon Bangsar 2025.
Kejayaan bersejarah itu diraih selepas menewaskan pencabar tradisi, Victoria Institution (VI), 1-0 dalam aksi final sengit dan penuh dramatik di Padang Kompleks Sukan Bangsar.
Gol tunggal perlawanan hadir lima minit sebelum tamat permainan menerusi jaringan penyerang gantian, Muhammad Syabil Badrulhisam yang tenang menyempurnakan peluang dalam kotak penalti selepas berlaku kelam-kabut di hadapan gawang lawan.
Kemenangan tersebut disambut penuh emosi oleh seluruh pasukan dan penyokong MTD yang hadir memberi sokongan padu, sekali gus menandakan kebangkitan semula gergasi bola sepak peringkat sekolah yang pernah digeruni suatu ketika dahulu.

Haziq dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Ketua pasukan, Mohd Fakhrul, memimpin benteng pertahanan dengan penuh disiplin dan ketegasan, mengekang setiap gerakan serangan VI yang terkenal dengan corak permainan pantas dan berbahaya.
Sementara itu, penjaga gol MTD, Haziq Mazlan muncul wira apabila menampilkan prestasi cemerlang sepanjang perlawanan dengan beberapa aksi menyelamat yang memukau, sekali gus melayakkan beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Kejayaan ini menjadi cerminan kepada falsafah pendidikan holistik MTD yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik dan ketenteraan, tetapi turut memberi penekanan terhadap pembangunan sahsiah melalui penglibatan aktif dalam sukan.

Gol tunggal dihasilkan Muhammad Syabil memastikan MTD kuasa baharu bola sepak Zon Bangsar.
Jurulatih pasukan, bekas Putera MTD, Aznor Dzulkarnain turut diberi penghargaan atas kejayaan membentuk pasukan mantap dari segi teknikal dan taktikal.
Beliau dibantu oleh guru sukan, Zulkhairiey Ahmad serta guru pengiring, Ashraf M Ridzuan yang memainkan peranan penting dalam membina kekuatan mental dan disiplin pemain.
Dengan kejayaan ini, MTD bukan sahaja menamatkan penantian panjang untuk kembali bergelar juara, tetapi turut menghantar isyarat jelas bahawa mereka kini kembali sebagai kuasa besar dalam arena bola sepak sekolah menengah peringkat daerah.