mhafis@mediaprima.com.my
Cyberjaya: Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai tahap kemuncak bermula hujung November hingga Januari tahun depan di negeri bersempadan dengan Thailand termasuk Sabah Sarawak.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan situasi itu, ramalan jangka panjang kebanyakan model menunjukkan akan menerima lebih hujan 20 hingga 40 peratus berbanding tahun lepas.
Menurutnya, negeri utara bersempadan dengan Thailand akan berlaku hujan lebih sedikit daripada purata taburan hujan bermula penghujung November ini hingga Januari manakala di Sabah lebih panjang sehingga Februari atau Mac.
Ditanya mengenai amaran untuk tidak turun ke laut akibat ombak kuat,Mohd Hisham berkata, itu bergantung kepada pihak berkuasa manakala di pihaknya hanya memberi nasihat.
“Buat masa ini angin timur laut belum lagi bertiup kencang jadi keadaan ombak saya rasa tidak berbahaya lagi untuk aktiviti laut.
“Namun kita akan kemas kini maklumat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL)2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejadian banjir bergantung kepadaberapa milimeter (mm) hujan yang diterima dalam tempoh masa tertentu.
“Sebagai contoh, satu negeri dijangka menerima 800 mm atau 1,000 mm dalam sebulan tetapi jumlah hujan itu datang dalam tempoh beberapa hari sahaja maka akan menyebabkan berlaku banjir,” katanya.
Mengulas mengenai myCuaca, Mohd Hisham berkata, lebih 200,000 pengguna telah memuat naik aplikasi itu yang menjadi rujukan semasa kepada pengguna.
“Segala maklumat terkini berhubung cuaca akan dimaklumkan dalam myCuaca, malah turut dikongsi berkaitan situasi laut dan gempa.,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd