Filem seram-thriller Taiwan, Mudborn yang diarahkan Shieh Meng-Ju mencetuskan sensasi sejak mula dipertontonkan di Malaysia pada 27 November.
Dalam masa yang singkat, karya ini berjaya meraih lebih RM10 juta di Taiwan dan sekali gus memecah rekod kutipan tertinggi bagi filem seram berbahasa Mandarin di negara ini sepanjang 2025.
Kejayaan besar itu turut mengukuhkan kedudukan Mudborn sebagai antara filem seram Cina paling mencuri perhatian tahun ini, sekali lagi membuktikan genre seram mempunyai peminat yang kukuh dalam kalangan penonton tempatan.

Filem ini diinspirasikan daripada lagu kanak-kanak terkenal “Ni Wa Wa, Ni Wa Wa, Yi Ge Ni Wa Wa…” (Anak Patung Tanah Liat). Walaupun melodinya kedengaran ceria, liriknya sebenarnya membawa maksud gelap dan menakutkan apabila didengar semula sebagai orang dewasa. Antara barisan lirik yang sering disebut ialah: ‘Matanya kaku, mulutnya diam, dia bukan patung seperti yang disangka…’
Kisah Mudborn berpusat pada watak Hsu-Chuan, seorang pereka permainan VR yang menjumpai anak patung tanah liat pecah di sebuah rumah tinggal berhantu lalu membawanya pulang.
Isterinya, Muhua yang sedang hamil dan bekerja sebagai konservator artifak, semakin taksub mahu membaiki patung itu tanpa sedar setiap sentuhan menghidupkan sesuatu yang lebih gelap.
Sejak patung itu berada di rumah mereka, pelbagai gangguan pelik mula berlaku. Dari bunyi bisikan yang halus hinggalah perubahan tingkah laku Muhua, ketegangan dalam rumah tangga pasangan itu semakin memuncak dan mengheret penonton menyelami rasa takut yang mereka alami.

Dalam situasi yang makin menghimpit, Hsu-Chuan mendapatkan bantuan seorang bomoh serta psikik bernama Ah-Sheng. Ah-Sheng kemudian membuka rahsia mengenai sumpahan tanah liat yang menghantui patung tersebut, termasuk tragedi lama dan dendam yang tidak pernah terpadam, sekali gus menambah ketegangan naratif filem ini.
Barisan pelakon yang menghidupkan cerita ini turut terdiri daripada nama-nama hebat seperti pemenang Anugerah Golden Horse, Yang Yo-Ning, serta bintang Hong Kong Cecilia Choi, Derek Chang, Puff Kuo dan Joanne Tseng.
Mudborn menawarkan gabungan menarik antara elemen VR, mistik tradisional, sumpahan purba dan gangguan supernatural. Perpaduan antara dunia moden dan kepercayaan lama menjadikan filem ini mempunyai identiti seram tersendiri, bukan sekadar mengejutkan penonton tetapi juga membuat mereka terus memikirkan maksud di sebalik setiap babak.
Sebagai karya Taiwan, filem ini membawa warna budaya Asia Timur yang jarang diketengahkan dalam filem arus perdana. Reka bentuk visual yang teliti, bunyi yang menegangkan serta sinematografi yang kemas menjadikan pengalaman menontonnya lebih mendalam.
Dengan kutipan melebihi RM10 juta, MUDBORN menunjukkan bahawa filem seram Mandarin mampu berdiri sama tinggi dengan filem tempatan, termasuk kejayaan naskhah Malaysia seperti Malam Terlarang yang turut mencatat prestasi cemerlang sebelum ini.
Mudborn bukan saja menampilkan elemen seram, tetapi juga menyampaikan kisah tentang obsesi, rapuhnya hubungan manusia dan ketakutan terhadap sesuatu yang tidak dapat dilihat.
Filem ini kini sedang ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia, siap memberikan pengalaman ngeri yang mengusik perasaan dan meninggalkan memori yang sukar dilupakan.






