Mueller akhiri 25 tahun bersama Bayern

Mueller akhiri 25 tahun bersama Bayern


Munich: Legenda Bayern Munich, Thomas Mueller mengesahkan tidak akan menyambung kontraknya bersama kelab gergasi Bundesliga itu sekali gus menamatkan karier 25 tahunnya bersama kelab berkenaan pada penghujung musim ini.

Mueller, 35, yang kontraknya bakal tamat pada musim panas berkata, menerusi satu kenyataan di media sosial bahawa keputusan itu dibuat oleh pihak kelab dan ‘bukan seperti yang saya harapkan’.

“Saya tak gemar bagaimana isu kontrak ini diperdebatkan secara terbuka kebelakangan ini. Namun saya tetap rasa dihargai selepas sekian lama bersama Bayern,” katanya.

“Hubungan istimewa dengan kelab ini dan para penyokong yang luar biasa akan kekal selamanya,” tambahnya.

Mueller adalah produk akademi Bayern dan antara simbol kelab itu, memenangi dua trofi Liga Juara-Juara dan 12 kejuaraan Bundesliga sepanjang kariernya.

Kini, tumpuannya adalah untuk membantu Bayern menamatkan musim dengan menjuarai liga dan mara ke final Liga Juara-Juara musim ini yang bakal berlangsung di Allianz Arena, gelanggang keramat Bayern.

Bayern dalam satu kenyataan memaklumkan Mueller akan diraikan menerusi perlawanan testimonial dan akan menyertai skuad ke Piala Dunia Kelab pada Julai ini.

“Thomas Mueller adalah definisi karier impian rakyat Bavaria,” kata Presiden Bayern, Herbert Hainer.

Dilahirkan di Weilheim, tidak jauh dari Munich, Mueller menyertai akademi Bayern pada usia 10 tahun dan melakukan penampilan sulung bersama skuad utama pada 2008 di bawah kendalian Jurgen Klinsmann menentang Hamburg — yang ketika itu dibarisi jurulatih Bayern ketika ini, Vincent Kompany.

Sepanjang 743 penampilan – paling banyak dalam sejarah kelab – Mueller menjaringkan 247 gol dan mencipta 273 bantuan jaringan.

Bagaimanapun, dalam beberapa musim terakhir, Mueller lebih kerap memulakan perlawanan dari bangku simpanan, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya.

Walaupun belum mendedahkan destinasi seterusnya, media Jerman melaporkan Mueller mungkin berhijrah ke Amerika Syarikat bagi menamatkan karier di Major League Soccer (MLS).

Bekas rakan sepasukannya, Eric-Maxim Choupo Moting yang kini bersama New York Red Bulls pernah berkata: “Thomas dialu-alukan di sini. Kalau dia nak ke Amerika, kita tunggu dan lihat. Thomas, kamu dah fasih berbahasa Inggeris… saya sedang perhatikan kamu.”

Mueller turut dikaitkan dengan jawatan dalam pentadbiran kelab selepas bersara.

Pemain yang menjulang Piala Dunia 2014 bersama Jerman itu sudah pun mengumumkan persaraannya dari skuad kebangsaan selepas Euro 2024, dengan rekod 131 penampilan dan 45 gol dalam tempoh 14 tahun.

Pengarah Sukan Bayern, Max Eberl berkata keputusan untuk tidak menyambung kontrak Mueller adalah ‘sesuatu yang sangat sukar’ namun menyifatkan kelab sedang memberi tumpuan kepada masa depan.

Bayern akan menerima kunjungan Inter Milan pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, Rabu ini, sebelum aksi timbal balik seminggu kemudian.

Kecederaan yang menimpa Jamal Musiala ketika Bayern menewaskan Augsburg 3-1 semalam mungkin membuka ruang buat Mueller kembali ke kesebelasan utama.

Dalam saingan Bundesliga, Bayern kini sembilan mata di belakang pendahulu, Bayer Leverkusen yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan menentang Heidenheim malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top