BEKAS penyerang sensasi Jerman dan Bayern Munich, Thomas Mueller sah menyertai kelab Liga Bolasepak Utama (MLS), Amerika Syarikat Vancouver Whitecaps bagi baki saingan musim 2025.
Perpindahan itu diumumkan secara rasmi kelab Kanada berkenaan yang turut mendedahkan bahawa mereka memiliki pilihan untuk mengekalkan khidmat Mueller sehingga musim 2026 sebagai pemain status khas yang membolehkan kelab MLS membayar gaji tinggi di luar had siling gaji liga.
Mueller, yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-36 bulan depan, mengambil keputusan menamatkan karier 25 tahunnya bersama Bayern Munich hujung musim lalu selepas memenangi 13 gelaran Bundesliga dan dua trofi Liga Juara-Juara Eropah.
“Saya tidak sabar untuk ke Vancouver bagi membantu pasukan ini menjulang kejuaraan. Saya dengar banyak perkara hebat tentang bandar ini, tapi paling utama, saya datang untuk menang,” kata Mueller.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Sukan, Whitecaps, Axel Schuster menyifatkan kehadiran Mueller sebagai detik penting dalam sejarah kelab dan bandar Vancouver.
“Ini adalah satu langkah besar dan mencerminkan komitmen pemilik kelab. Ia satu detik transformatif untuk kelab serta komuniti bola sepak di Vancouver. Kami bangga menyambut kehadiran Thomas,” katanya.
Sebagai rekod, Mueller membuat 131 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman dengan menjaringkan 45 gol, termasuk peranan penting membantu negaranya menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil.
Sepanjang karier bersama Bayern, Mueller menjaringkan 250 gol dan mencipta 276 bantuan jaringan dalam 756 penampilan merangkumi semua pertandingan, menjadikannya antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah kelab Bavaria itu.
Mueller turut membantu Bayern mara ke suku akhir Piala Kelab Dunia di Amerika Syarikat bulan lalu sebelum tewas kepada naib juara, Paris Saint-Germain (PSG).
Ketika ini, Whitecaps berada di kedudukan kedua Konferens Barat bakal bertandang ke San Jose Earthquakes pada Ahad.