Mufti Perlis saman fitnah GISBH RM10 juta

Mufti Perlis saman fitnah GISBH RM10 juta



surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) berhubung satu sidang media yang dibuat sebelum ini.

Saman itu difailkan Dr Mohd Asri selaku plaintif di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Oktober lalu dengan menamakan GISBH Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISBH, Mokhtar Tajuddin selaku defendan kedua.

Berdasarkan dokumen yang dilihat media, selain ganti rugi RM10 juta, tokoh agama itu juga menuntut defendan membuat permohonan maaf di beberapa akhbar dan media sosial.

Plaintif mengemukakan saman berdasarkan sidang media yang diadakan oleh defendan kedua pada 29 Ogos lalu yang kemudian merujuk kepada surat tuntutan GISBH kepada Dr Mohd Asri berhubung dakwaan kenyataan fitnah yang dibuat terhadap kumpulan itu.

Dalam sidang media itu, defendan kedua menuntut permohonan maaf menerusi tuntutan notis ke atas plaintif yang didakwa melemparkan fitnah, tohmahan dan kebencian terhadap syarikat itu menerusi media sosial.

Notis tuntutan itu berkait hantaran di Facebook Dr Mohd Asri pada 16 Ogos yang didakwa merujuk kepada sebuah kumpulan ajaran tertentu tanpa menyebut sebarang nama pada 16 Ogos.

Sementara itu, dalam afidavit sokongan, Dr Mohd Asri mendakwa hantaran fitnah defendan-defendan dengan niat menghina, memperendahkan, memalukan dan mendedahkan tokoh agama itu kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan yang membuat orang ramai menjauhinya.

Selain itu, hantaran fitnah itu dengan niat menimbulkan persepsi negatif oleh masyarakat umum ke atas plaintif selaku mufti dan tokoh akademik.

Sebelum ini, GISBH menuntut permohonan maaf daripada Dr Mohd Asri dan serta dua lagi individu iaitu Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Jamali Mohd Adnan dan Ustaz Daud Lin Abdullah.

Dalam sidang media itu, Mokhtar dilapor berkata, ketiga-tiga mereka didakwa melemparkan fitnah, tohmahan dan kebencian terhadap syarikat itu menerusi media sosial mnerusi beberapa dakwaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top