Muhaizar tetap fokus, biarpun status ke Sukan SEA masih samar

Muhaizar tetap fokus, biarpun status ke Sukan SEA masih samar


Muhaizar. Foto Score Marathon

PELARI maraton negara, Muhaizar Mohamed mahu memberi fokus penuh terhadap persiapan ke Sukan SEA Thailand 2025, meskipun status penyertaannya masih belum disahkan secara rasmi oleh Olahraga Malaysia (MA) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau masih belum menerima maklum balas rasmi daripada pihak berkaitan mengenai kelayakan ke temasya dwitahunan itu, namun enggan menjadikan ketidakpastian tersebut sebagai halangan, sebaliknya mengambil pendekatan proaktif untuk bersedia seawal mungkin.

“Saya belum tahu sama ada akan terpilih atau tidak, tetapi saya sudah merancang program latihan. Mungkin selepas Terbuka Malaysia nanti baru ada keputusan rasmi. Apa yang penting saya sudah bersedia,” katanya.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dijadual berlangsung di Perlis akhir bulan depan dan senarai akhir atlet ke Thailand perlu dihantar ke MSN pada 4 September.

Beliau menjelaskan bahawa persiapan ke Sukan SEA bukan tugas mudah kerana faktor cuaca panas serta saingan sengit dari pelari negara jiran yang sudah biasa dengan keadaan sedemikian.

Muhaizar bagaimanapun optimis bahawa dengan latihan yang tersusun, beliau masih berpeluang mencipta kejutan.

“Memang sukar untuk dapatkan pingat emas, tetapi ia bukan mustahil. Apa yang penting adalah perancangan latihan.

“Saya merancang untuk menjalani latihan altitud tinggi dan cari kem latihan yang sesuai supaya boleh fokus sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa latihan intensif di kawasan bersuhu ekstrem akan menjadi fokus utama bagi meningkatkan daya tahan serta ketahanan fizikalnya.



Source link

OR

Scroll to Top