redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bagan Serai: Selepas 17 hari hilang tanpa khabar berita, Muhamad Syahir Ghazali akhirnya ditemui di sebuah pondok dekat Hentian Sebelah Alor Pungsu arah selatan di sini, kira-kira jam 10.11 malam tadi.
Muhamad Syahir, 30, ditemui hasil maklumat orang awam yang ternampak pemuda itu duduk berseorangan di sebuah pondok dekat kawasan hentian berkenaan.
Bapanya, Ghazali Ismail, 66, berkata, selepas menerima maklumat berkenaan, dia dan isteri, Salina Ahamad, 59, terus bergegas ke lokasi berkenaan selepas solat Isyak di sebuah masjid dekat Butterworth, Pulau Pinang.
“Sampai di hentian berkenaan, saya terus ke pondok dan nampak Syahir (nama panggilan) duduk seorang diri dengan memakai baju sama dipakainya ketika hari terakhir sebelum hilang.
“Dia nampak lemah, badannya berbau busuk namun tak ada kesan cedera dan macam tak kenal saya. Saya tanya dia dari mana nak ke mana pun tak jawab.
“Sebaliknya, dia hanya senyum dan gelak. Saya pujuk dia ikut saya dengan isteri dan mujur dia mahu cuma tak bercakap tapi syukur jumpa akhirnya kerana saya ingat Syahir sudah tiada,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ghazali berkata, motosikal milik Muhamad Syahir juga ditemui bersebelahan pondok dekat kawasan hentian berkenaan.
“Dompetnya pun ada bersama. Perasaan saya gembira bercampur sedih.
“Gembira kerana berjumpa semula dengan Syahir dan sedih sebab tengok keadaannya yang termenung sampai sekarang sedangkan dia orang yang ceria serta peramah.
“Tapi saya berterima kasih kepada semua kerana membantu mencari anak termasuk orang awam, media, pihak polis juga rakan serta ahli keluarga yang buat solat hajat untuk anak.
“Hanya Allah SWT mampu membalasnya dan ini juga berkat Ramadan,” katanya yang sebelum ini giat mencari anaknya di sekitar Pulau Pinang.
Ghazali berkata, dia kini dalam perjalanan membawa anaknya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak untuk pemeriksaan lanjut.
“Bawa Syahir ke hospital dulu, kita tengok macam mana.
“Apa yang penting, dia sudah ada dengan saya dan isteri sekarang,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kebimbangan Ghazali selepas anaknya, Muhamad Syahir hilang tanpa khabar berita sejak 18 Februari lalu.
Muhamad Syahir dipercayai hilang selepas pulang dari kerja di sebuah hotel di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.
Lebih merumitkan apabila pemuda yang bekerja sebagai juruteknik itu tidak membawa telefon bimbit bersama hingga menyebabkan keluarga tidak dapat menjejaki keberadaannya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake dilapor berkata Muhamad Syahir dipercayai keluar dari tempat kerjanya di hotel itu dengan berpakaian uniform kerja dan tidak pulang ke asrama penginapannya.
Berikutan itu, polis menjalankan usaha menjejaki Muhamad Syahir dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil.
© New Straits Times Press (M) Bhd