Muhammad Shah Firdaus, Nurul Izzah dinobat Pelumba Terbaik Malaysia 2025

Muhammad Shah Firdaus, Nurul Izzah dinobat Pelumba Terbaik Malaysia 2025


Muhammad Shah Firdaus (kanan) dan Nurul Izzah Izzati dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Lelaki dan Wanita pada Majlis Apresiasi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) 2025 di Melaka, semalam.

DUA atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Lelaki dan Wanita pada Majlis Apresiasi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) 2025 di Melaka, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill pada majlis yang dihadiri penggiat sukan berbasikal seluruh negara termasuk pegawai, atlet dan tokoh-tokoh sukan.

Dalam kenyataan PKBM hari ini, Amarjit menyifatkan penganugerahan kepada dua pelumba itu sebagai satu lembaran baharu dalam sejarah penubuhan badan induk berkenaan.

Muhammad Shah dan Nurul Izzah masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil.

Pada masa sama, dua pelumba para Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraiya Mohd Zamri yang ketika ini menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil, diumumkan sebagai Pelumba Para Terbaik.

Legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan pula menerima anugerah khas, membawa pulang trofi serta baki wang hadiah kemenangan bernilai RM4,500 yang dijanjikan PKBM.

Sementara itu, kategori Persatuan Negeri Terbaik dimenangi Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak (PBNS) manakala Mohd Yusof Abdul Nasir dan Noor Alfizar Othman muncul sebagai Pegawai Sukan Terbaik Malaysia 2025.

Pasukan benua terkenal, Terengganu Cycling Team (TSG) dinobatkan sebagai ‘Best Continental Team’.

Majlis Apresiasi PKBM 2025 turut menganugerahkan Anugerah Khas kepada Amarjit atas pencapaian menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi jawatan Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). – Bernama

Ringkasan AI

  • Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Lelaki dan Wanita pada Majlis Apresiasi PKBM 2025 di Melaka
  • Anugerah itu disampaikan oleh Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill
  • Muhammad Shah dan Nurul Izzah masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil
  • Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraiya Mohd Zamri diumumkan sebagai Pelumba Para Terbaik
  • Legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan menerima anugerah khas dengan trofi dan wang hadiah RM4,500



Source link

OR

Scroll to Top