Mula-mula suka, akhirnya duka

Mula-mula suka, akhirnya duka


Beijing: Kegembiraan bertemu semula pasangan kembar selepas 30 tahun berpisah tidak berpanjangan sebaliknya berpisah semula selepas pelbagai konflik melanda hubungan mereka.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, salah seorang daripada kembar itu menghilangkan diri dengan dana permulaan perniagaan mereka.

Pasangan kembar berasal dari wilayah Henan di tengah China itu, dipisahkan semasa lahir dan diambil sebagai anak angkat oleh keluarga berbeza yang tinggal sejauh 50 kilometer (km), lapor media tanah besar Zhengguan News.

Di kawasan luar bandar China, beberapa ibu bapa miskin menghantar anak mereka yang baru lahir kepada orang tidak dikenali sebagai harapan untuk kehidupan lebih baik.

Tindakan tidak formal itu adalah menyalahi undang-undang tanpa dokumen rasmi.

Pada Mac 2021, Zhang Li, 30, menemui video di platform media sosial memaparkan seorang wanita kelihatan sama sepertinya, bernama Cheng Keke.

Selepas berbual, mereka menyedari berkongsi bukan sahaja hari lahir sama tetapi juga jenis darah, minat dan cita rasa fesyen yang sama.

Kedua-duanya melawat hospital untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan mereka adalah saudara kembar.

Ketika itu, kedua-duanya tinggal di lokasi berbeza di wilayah Henan.

Pertemuan semula mereka dengan segera menjadi tajuk berita di seluruh China.

Kakak perempuan, Zhang mengenangkan perjalanan yang membawanya kepada penemuan Cheng.

“Kami pergi ke Beijing untuk itik Peking, kami juga melawat Bund dan Menara Oriental Pearl di Shanghai. Kami sangat gembira ketika itu,” kata Zhang.

Cheng meluahkan perasaannya yang terpendam menginginkan seorang kakak.

“Selepas kami bertemu, saya tinggal bersamanya hampir setiap hari. Saya hanya mahu menghabiskan setiap masa dengan kakak saya. Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan,” kata Cheng.

Adik-beradik itu kemudiannya bergabung menjual produk makanan dan gaya hidup di Douyin.

Pada masa itu, mereka mengembara ke bandar berbeza di Henan dan selatan China untuk menjalankan jualan dalam talian mereka.

Walaupun jumlah peminat mereka semakin meningkat, perniagaan ini menghadapi cabaran dan beroperasi dengan kerugian.

Cheng kemudiannya kecewa, menuduh Zhang mengabaikan perniagaan selain kerap pulang ke kampung halamannya di Dengfeng, Henan.

Cheng ditinggalkan untuk menampung semua perbelanjaan perjalanan, sewa dan makan.

Bagaimanapun, Zhang mengaitkan konflik mereka dengan perbezaan personaliti.

“Saya bercakap secara langsung, tetapi kakak saya cenderung untuk membolak-balikkan keadaan,” katanya.

Dia juga merujuk Cheng sebagai faktor utama dalam usaha mereka yang gagal, mendakwa dia kerugian lebih 500,000 yuan (RM304,806) semasa bekerja bersama.

Zhang menyatakan: “Akhirnya, saya memberitahunya bahawa saya tidak boleh meneruskan perniagaan penstriman langsung dengannya lagi.”

Pada awal Februari, mereka membuka sebuah restoran di Henan, mengharapkan permulaan baharu, namun perselisihan faham mengenai pengurusan dan pelaburan membawa kepada kejatuhan sepenuhnya.

Cheng kemudiannya mengambil alih 20,000 yuan (RM12,192) daripada dana perniagaan mereka dan menyekat hubungan dengan Zhang.

Dia menafikan dakwaan mencuri, sambil menegaskan mengambil bahagiannya dan memulangkan baki wang kepada pelabur selepas membayar gaji serta sewa.

Cheng menyatakan kehidupan kembar mereka telah berakhir dan menyebut bahawa sedang bersiap untuk membuka kedai baru di kampung halamannya Gongyi di Henan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top