Mula pindah barang ke rumah rakit

Mula pindah barang ke rumah rakit


am@hmetro.com.my

Rantau Panjang : Penduduk di beberapa kawasan rendah, di sini, mula mengangkat barangan penting ke rumah rakit selepas banjir mula melanda sejak malam tadi.

Tinjauan hari ini mendapati, majoriti mula mengangkat barangan seperti pakaian, alatan elektrik dan motosikal ke rumah rakit kerana menjangkakan paras air akan bertambah susulan taburan hujan yang tinggi.

Penduduk, Mohd Khairul Anwar Muhamad, 42, berkata, dia bersama keluarga mengangkat barangan sejak awal pagi tadi selepas air mula melimpahi sekitar rumahnya separas 0.5 meter.

“Rumah rakit yang sudah digunakan sejak dua tahun lalu dikongsi bersama tiga keluarga yang mana dijadikan tempat kami menyimpan barangan penting yang tidak dapat dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Biasanya kediaman saya akan dinaiki air sehingga mencecah lebih empat meter, jadi hanya rumah rakit saja yang dapat menyelamatkan barangan kami memandangkan bahagian dalam rumah juga bakal dimasuki air dengan paras yang tinggi.

“Selepas siap memindahkan barangan ke rumah rakit, saya akan mengikatnya di batang pokok agar ia tidak hanyut dibawa arus deras. Alhamdulillah, selepas menggunakannya sebelum ini semua barang dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Faiz Hassan, 35, berkata, rumah rakit yang disumbangkan salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu benar-benar memberi manfaat kepadanya dan keluarga.

“Sebelum ini, hampir setiap tahun kami terpaksa menanggung kerugian akibat barangan elektrik rosak selepas ditenggelami banjir. Kini, dengan menggunakan rumah rakit ini, kami dapat membuat persiapan awal.

“Jika hujan terus melanda, saya menjangkakan malam ini atau esok kami sekeluarga terpaksa berpindah ke tempat selamat kerana kawasan penempatan ini hampir setiap tahun dinaiki air sehingga mencecah paras bumbung.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 30 rakit kecemasan bernilai lebih RM70,000 disumbangkan sebuah badan kerajaan (NGO) kepada empat kampung terjejas banjir di jajahan Pasir Mas.

Sumbangan itu disampaikan oleh Kelantan Disaster Relief Network (KDRN) dengan kerjasama Crisis Relief Services and Training (CREST) untuk Kampung Tersang, Kampung Tasek Bakong dan Kampung Kusar, di sini, serta Kampung Serongga di Pasir Mas.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top