Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka laman sesawang khas mulai esok bagi memudahkan rakyat Malaysia yang menggunakan Lesen Memandu Singapura (LMS) memohon bantuan subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu diambil bagi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi terpaksa menggunakan lesen memandu republik itu untuk tujuan pekerjaan, khususnya dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas, pemandu perkhidmatan sokongan dan pekerja operasi.
“MOT prihatin terhadap maklum balas daripada warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura berkenaan pelaksanaan BUDI95, khususnya mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas dan pekerja operasi,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata, laman sesawang khas itu boleh diakses di BUDI95lesenSG.jpj,manakala status kelayakan boleh disemak selepas 14 hari melalui portal rasmi budi95.
Rakyat Malaysia guna lesen Singapura boleh mohon BUDI95
Menurut Loke, semua permohonan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian dan pertimbangan kelayakan berdasarkan beberapa syarat utama iaitu pemohon mesti merupakan warganegara Malaysia, memiliki LMS yang masih sah, serta mempunyai permit pekerjaan yang sah di Singapura.
Artikel lain: Penangan luar biasa BUDI95! Hampir 351,000 orang perbaharui lesen memandu – Anthony Loke
Beliau turut menegaskan bahawa subsidi BUDI95 hanya diberikan kepada kenderaan yang didaftarkan di Malaysia.
Katanya, rakyat Malaysia yang tidak lagi bekerja di Singapura boleh memohon semula Lesen Memandu Malaysia selepas membatalkan lesen Singapura mereka mengikut prosedur sedia ada.
“Jabatan ini berharap langkah ini dapat membantu memudahkan urusan warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura agar turut mendapat pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan program subsidi bahan api negara,” katanya.
Sumber: BERNAMA